suria

Penuntut IPT Kerajaan Selangor Terlibat Militan Akan Disingkir

SHAH ALAM: Pentadbiran universiti dan kolej milik kerajaan Selangor telah diarah mengambil tindakan tegas termasuk menyingkirkan penuntut yang dikenal pasti terbabit dalam kegiatan militan.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi negeri Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia bagi mengekang penularan kegiatan militan dalam kalangan penuntut institut pengajian tinggi (IPT) di negeri ini.

"Mana-mana penuntut IPT di bawah kerajaan negeri akan diberhentikan jika terbukti mereka terbabit dalam kegiatan militan kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam dan mengancam keselamatan negara," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-13 di sini, Rabu.

Nik Nazmi menjawab soalan Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Panjang) berhubung tindakan terhadap penuntut IPT seliaan kerajaan negeri yang dikesan terlibat dalam kegiatan militan.

Polis baru-baru ini mengesahkan seorang penuntut Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), telah berlepas ke Syria pada 4 Okt dipercayai untuk menyertai kegiatan kumpulan militan IS.

Berikutan itu, Kuis dalam satu kenyataan berkata penuntut itu telah diberhentikan daripada IPT berkenaan.


Selangor, Militan, IPT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain