suria

Kerajaan Bukan Samseng - Ahmad Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR:  "Kerajaan bukan samseng. Kami tidak sewenang-wenangnya menahan sesiapa tanpa bukti kukuh," kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Demikian reaksi beliau terhadap dakwaan kerajaan menggunakan Akta Hasutan 1948 untuk menutup kritikan terhadapnya dan menggunakan kuasa di tangan ke atas pembangkang sebagai cara untuk mengekalkan pemerintahan.

Beliau berkata, daripada kesemua kritikan terhadap penahanan dan tindakan ke atas mereka yang menyebarkan kebencian, pembohongan dan fitnah, rata-rata rakyat Malaysia menyokong tindakan itu kerana sedar tentang bahaya yang dibawa oleh golongan ini.

Berucap di Forum Antarabangsa Umno bertemakan Kesalinghubungan dan Media Sosial : Memperkasakan Rakyat Untuk Membina atau Memecahbelahkan Negara, di sini hari ini Ahmad Zahid berkata Malaysia sedang diancam oleh mereka yang menggunakan internet untuk menyebarkan pembohongan, fitnah dan kebencian.

Beliau berkata, tidak seperti negara lain, Malaysia bukannya negara berasaskan satu kaum tetapi berbilang bangsa dan agama, ia memerlukan kerajaan untuk memantau aktiviti di alam internet dan perbuatan yang tidak menyenangkan. 

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata, kerajaan perlu tegas dalam membanteras sebarang unsur yang sememangnya berbahaya kepada pembinaan negara.

Beliau berkata, setiap rakyat Malaysia perlu mematuhi undang-undang, peraturan yang mengikat mereka daripada melakukan sebarang kenyataan perkauman dan provokasi kerana kesannya tidak sanggup diterima oleh setiap orang.

"Kami telah belajar daripada rusuhan kaum 1969, dan kami juga belajar daripada beberapa insiden melibatkan golongan ekstremis agama dan masyarakat. Kesemua ini membuatkan kami mengenakan undang-undang yang ketat untuk mengelakkan rumah daripada roboh," katanya.

Beliau berkata dalam menguatkuasakan undang-undang, kerajaan tidak dan tidak
akan bersikap berat sebelah dan dalam bahasa mudah kerajaan tidak berkompromi apabila menyentuh keselamatan dan kestabilan negara.

Ahmad Zahid yang merupakan seorang penceramah di forum itu turut menekankan walaupun kerajaan bersetuju memansuhkan Akta Hasutan dan memperkenalkan satu akta baharu, beberapa peruntukan dalam akta itu perlu dikekalkan bagi menjadikan ia lebih tegas untuk menegah mereka yang cuba melanggarnya. 

"Dalam melakukannya, kerajaan akan mengambil kira maklum balas dan cadangan daripada semua pihak dalam masyarakat, termasuk pembangkang," katanya.

Forum itu yang dianjurkan sempena Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Isnin

Persidangan selama dua hari itu disertai kira-kira 127 perwakilan asing daripada 34 parti mewakili 22 negara dan kor diplomat dari hampir 70 negara.

Artikel Berikut

Artikel Lain