suria

Perhilitan Melaka Rampas 28 Burung Pelbagai Spesies Disimpan Tanpa Lesen

Bayan Puling (Gambar internet)
MELAKA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka merampas 28 ekor burung pelbagai spesis yang disimpan tanpa permit khas dan lesen di dua buah rumah berasingan di Batu Gajah, Merlimau dekat sini.

Pengarah Perhilitan Melaka Noorzakiahanum Mohd Noh berkata rampasan pertama melibatkan 23 ekor burung Punai Daun yang dirampas daripada seorang wanita berusia 30-an di sebuah rumah kira-kira pukul 4 petang, Isnin.

Beliau berkata rampasan kedua pula melibatkan masing-masing dua ekor burung disyaki spesies Bayan Puling dan Serindit manakala seekor burung spesies Kelicap Kunyit milik seorang lelaki berusia 30-an dalam kawasan perkampungan yang sama.

"Siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti tujuan haiwan tersebut dipelihara namun siasatan awak mendapati kesemua burung berkenaan merupakan haiwan peliharaan kedua-dua individu terbabit," katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 60 dan 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perhilitan, Punai Daun

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain