suria

Tiga Daerah Di Terengganu Terjejas Banjir, Bilik Gerakan Bencana Negeri Dibuka

Keadaan kawasan perumahan Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak yang dinaiki air ketika tinjauan fotoBernama, Selasa. Sehingga jam 6 petang, seramai 45 keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak selepas hujan lebat yang menyebabkan kawasan perumahan mereka dinaiki air dan jalan masuk tidak dapat dilalui oleh kenderaan ringan. -fotoBERNAMA
KUALA TERENGGANU: Bilik gerakan bencana Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu telah dibuka pada pukul 5.30 petang tadi berikutan tiga daerah di negeri itu sudah mula terjejas akibat banjir Selasa.

Pemangku Setiausaha MKN negeri Roslina Ngah berkata bilik gerakan berkenaan akan beroperasi selama 24 jam untuk memantau semua operasi banjir di kawasan terbabit.

Beliau berkata sehingga pukul 6 petang Selasa, daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus telah mengalami banjir dengan 67 mangsa telah dipindahkan manakala yang terbaru beberapa lagi kawasan rendah di Setiu turut terjejas.

Mangsa-mangsa banjir kini ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu 38 orang di Sekolah Kebangsaan Cendering di sini dan 29 orang di Pusat Sivik Gong Badak, Kuala Nerus.
Sementara itu beberapa jalan utama ditutup kepada kenderaan ringan petang ini selepas dinaiki air sedalam antara 0.3 hingga 0.5 meter.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri antara jalan terbabit ialah Jalan Chalok-Kampung Bukit Putera di Setiu, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Seksyen 425 dekat Kampung Bandar Kerteh Kemaman dan Jalan Kubang Tangga Kuala Terengganu Seksyen 0.5.

Bagi memudahkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan banjir boleh menghubungi bilik gerakan bencana negeri di talian 09-6316021 atau laman web etindakan.terengganu.gov.my.

Artikel Lain