suria

Inisiatif Untuk Penjaja & Peniaga Kecil Dilancarkan

Datuk Seri Hassan Malek
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini melancarkan Inisiatif Strategik Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil 2015-2020 bagi penjaja dan peniaga kecil menjelang negara maju 2020.

Menterinya Datuk Seri Hassan Malek berkata inisiatif berkenaan adalah usaha kementerian dalam menyokong Pelan Tindakan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil yang telah dilaksanakan sebelum ini.

"Inisiatif ini menggariskan empat teras strategik utama iaitu memperteguh ekosistem, memperkasa daya saing, membangun modal insan dan melestari kewangan," katanya kepada pemberita selepas ucapan penutupan Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan 2014 di sini Selasa.

Turut hadir Timbalannya Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dan Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia Datuk Ramli Norani.

Beliau berkata inisiatif berkenaan merupakan kerjasama antara kementerian itu dengan tujuh kementerian lain, 14 agensi kerajaan, 21 persatuan penjaja dan peniaga kecil serta tiga persatuan orang kurang upaya.

Katanya antara kerjasama yang telah dijalankan termasuk mesyuarat, makmal dan konvensyen yang akan menjadi titik tolak ke arah mewujudkan satu Dasar Nasional Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil pada masa hadapan.

Hassan berkata usaha itu turut menggariskan 11 inisiatif 'quick win' bagi tahun hadapan termasuk mengukuhkan organisasi kawal selia hal ehwal penjaja dan peniaga kecil bagi memastikan inisiatif pembangunan sektor ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Turut dicadangkan penganjuran karnival berstruktur di seluruh negara dan pembangunan modal insan melalui kerjasama strategik dengan Akademi Perbadanan Nasional Bhd.

Beliau berkata satu model pembiayaan akan turut dibentuk untuk memastikan bantuan pembiayaan kepada penjaja dan peniaga kecil dapat dilaksanakan dengan berkesan.

"Selain itu, tabung simpanan penjaja dan peniaga kecil juga akan diwujudkan untuk memastikan kebajikan mereka dititikberatkan," katanya.

Mengenai mahkamah cukai barang dan perkhidmatan (CBP), beliau berkata kementerian itu sedang dalam persiapan bagi mewujudkan mahkamah berkenaan seiring dengan pelaksanaan CBP pada April tahun depan.

Hassan berkata mahkamah berkenaan setaraf dengan mahkamah Sesyen tetapi hanya akan mengadili kes berkaitan CBP dan anti-pencatutan.

Mengenai program rasionalisasi subsidi, katanya kerajaan menerima 83 cadangan program rasionalisasi berkenaan dan kerajaan akan menyenarai pendek 28 cadangan terbaik.

Artikel Sebelum

Artikel Lain