suria

Nasib Tawanan Malaysia Kabur

KOTA KINABALU: Nasib dua tawanan Malaysia yang dikuasai Abu Sayyaf menjadi tanda tanya terutama berikutan berlakunya serangan berterusan pasukan tentera terhadap militan di hutan pergunungan Jolo di selatan Filipina.

Buat masa ini polis marin, Konstabel Zakiah Aleip dan pengurus ternakan ikan, Chai Sai Chuin berada jauh dari lokasi operasi, namun situasinya boleh berubah pada bila-bila masa, demikian menurut aktivis anti penculikan tempatan, Prof Octavio Dinampo.

Beliau berkata, tentera Filipina kini memberi tumpuan memburu kumpulan lelaki bersenjata Abu Sayyaf di kawasan Patikul, manakala kedua-dua rakyat Malaysia tersebut ditahan di Indanan iaitu kira-kira 5 kilometer dari sini.

"Tidak ada pertempuran antara Abu Sayyaf dan tentera lagi sejak kejadian pada Jumaat lalu," kata Dinampo, seorang ahli akademik dari Mindanao State University.

Antara yang terbunuh dalam pertempuran pada Jumaat lalu ialah saudara kepada pemimpin Abu Sayyaf, Radullan Sahiron serta 10 lelaki bersenjata dan lima askar.

Dinampo berkata, pasukan tentera melihat kumpulan lelaki bersenjata Abu Sayyaf melarikan diri dengan tiga tebusan lain di Patikul.

Ketiga-tiga mereka ialah warga Switzerland, Lorenzo Vinciguerra, Ewold Horn (Belanda) dan Toshio Ito (Jepun).

Artikel Berikut

Artikel Lain