suria

Tanam 1 Juta Pokok Pulih Alam Sekitar Cameron Highlands - Palanivel

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands mengadakan perjumpaan bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk berbincang mengenai isu alam sekitar ekoran banjir lumpur baru-baru ini di Cameron Highlands, Ahad. -fotoBERNAMA
CAMERON HIGHLANDS: Program penanaman sejuta pokok di seluruh Cameron Highlands terutama di kawasan hutan terosot akan dilaksanakan bagi mengurangkan kesan hakisan dan tanah runtuh, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel.

Beliau berkata penanaman itu akan dimulakan secara berperingkat-peringkat sehingga tiga tahun akan datang dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO)seperti Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka).


"Kita akan berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, bagi menggerakkan program itu.

"Kita tidak mahu lagi pembinaan bangunan tinggi dan terlalu banyak kondominium serta hotel," katanya kepada pemberita selepas bertemu NGO bagi membincangkan isu alam sekitar Cameron Highlands di sini Ahad.

Katanya kementerian juga mahu memperoleh 11 lot tanah di pinggir Sungai Bertam, Ringlet di sini yang kini milik persendirian melalui Akta Pengambilan Tanah 1960, katanya.

Beliau berkata pengambilan tanah itu bertujuan bagi melaksanakan kerja-kerja pelebaran dan pendalaman sungai itu memandangkan kerajaan telah meluluskan peruntukan RM40 juta bagi tujuan tersebut.

Ketika ditanya mengenai tindakan seterusnya jika penduduk yang mendiami tanah rizab di pinggir Sungai Bertam tetap enggan berpindah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pendalaman sungai, Palanivel berkata ia adalah tanggungjawab kerajaan negeri Pahang untuk mengambil langkah lanjut.


Sementara itu, Presiden Reach R. Ramakrishnan berkata kawasan tanah tinggi itu tidak diwartakan sebagai kawasan pelancongan sebaliknya pertanian dan ia menjadi tumpuan kerana keadaan cuacanya sejuk.

"Penerokaan tanah yang ada pada masa ini adalah secara haram kerana pemberian lesen menduduki sementara (TOL) telah dibekukan sejak 2007.

"Kita memerlukan tindakan dan penyertaan kerajaan negeri kerana setakat ini kerajaan Pusat dilihat sangat komited serta berusaha mengambil inisiatif mengenai Cameron Highlands," katanya.

Beliau berkata Reach, MNS dan Peka mahu membawa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Cameron Highlands untuk melihat sendiri apa yang berlaku kepada kawasan itu sehingga terjadinya beberapa kejadian buruk terutama banjir lumpur dan tanah runtuh.


Presiden Peka Sharifah Sabrina Syed Akil pula berkata tindakan penguatkuasaan di Cameron Highlands tidak dilaksanakan secara berkesan oleh pihak penguat kuasa.

"Jika mereka mempunyai wang dan jentera, mereka hanya buat saja. Tidak ada tindakan penguatkuasaan sewajarnya," katanya.

Tanpa memberikan butiran, Ramakrishnan dan Sharifah Sabrina juga tidak berpuas hati dengan pertemuan dan perbincangan bersama-sama Palanivel serta beberapa badan kerajaan lain hari ini kerana ada masalah tidak dapat diselesaikan selain masih menjadi persoalan.

Artikel Berikut

Artikel Lain