suria

Kerja-Kerja Pengalihan Bangkai Pesawat MH17 Di Timur Ukraine Bermula

- AFP
GRABOVE (Ukraine): Kerja-kerja mengalihkan bangkai pesawat MH17 dari wilayah pemberontak di timur Ukraine bermula Ahad, empat bulan selepas ia ditembak jatuh, mengorbankan 298 nyawa.

Seorang wartawan AFP melihat pekerja dari kementerian kecemasan Republik Rakyat Donetsk mula memotong bangkai pesawat dengan gergaji logam kepada kepingan di lokasi kemalangan berhampiran perkampungan Grabove.

Penyiasat dari Belanda yang mengetuai siasatan kejadian, di mana 193 warga Belanda terkorban, mengesahkan bahawa mereka telah menyelia pembuangan sampah dan berkata ia akan mengambil masa selama 'beberapa hari'.

"Hari ini kerja-kerja mengalihkan bangkai penerbangan MH17 telah bermula. Lembaga Keselamatan Belanda ditauliahkan untuk mengalih dan mengangkut bangkai pesawat ke Belanda sebagai sebahagian daripada siasatan punca nahas penerbangan MH17," kata pakar Belanda dalam satu kenyataan.

Pasukan penyiasat berkata bangkai itu akan dikumpulkan berhampiran dengan lokasi kemalangan sebelum diangkut ke bandar yang dikawal kerajaan di Kharkiv dan kemudian diterbangkan ke Belanda.

Ukraine dan Barat menuduh Rusia membekalkan pemberontak pro-Moscow dengan peluru berpandu yang menembak jatuh pesawat Boeing 777 ketika terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur 17 Julai lalu, satu peristiwa yang meningkatkan tekanan kepada Moscow berhubung peranannya dalam konflik di Ukraine.

Moscow dan pemberontak yang disokong Kremlin telah menafikan bahawa mereka terbabit di sebalik kejadian.

Pasukan siasatan setakat ini telah berjaya mengumpul dan mengenal pasti mayat 289 mangsa tragedi tetapi operasi terganggu oleh pertempuran sengit di kawasan di antara tentera kerajaan dan pemberontak.
MH17, bangkai MH17, timur Ukraine

Artikel Sebelum

Artikel Lain