suria

Kadar Bayaran Pengedar Surat Khabar Perlu Dinaikkan - Azman Ujang

Penaung Persatuan Pengedar Aliran Media Utama dan Penerbitan (PAMUP), Datuk Seri Azman Ujang (tengah) bergambar bersama penerima cek insurans dan sumbangan pada Majlis Makan Malam PAMUP di Kuala Lumpur, Ahad. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemain industri penerbitan akhbar perlu menaikkan kadar bayaran (komisyen) kepada pengedar surat khabar di seluruh negara berikutan kenaikan harga minyak dan alat ganti kenderaan.

Menyarankan demikian, Penaung Persatuan Pengedar Aliran Media Utama dan Penerbitan Kuala Lumpur/Selangor (PAMUP), Datuk Seri Azman Ujang berkata ini juga kerana pendapatan pengedar surat khabar bergantung kepada jumlah pengedaran setiap hari yang kini semakin menurun.

"Pendapatan mereka juga terjejas berikutan kejatuhan edaran akhbar sehingga 100,000 naskah sejak tahun lalu yang dialami sesetengah syarikat penerbitan akhbar," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Makan Malam PAMUP, di sini Ahad.

Dalam pada itu, bekas Pengurus Besar BERNAMA itu turut menggesa pengedar surat khabar menyertai Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menikmati pelbagai skim perlindungan ketika menjalankan tugas.

Manakala itu, Presiden PAMUP Shaikh Naina Zainal Abidin berkata, 140 anggota persatuan itu telah didaftar di bawah skim perlindungan insuran bernilai RM100,000 bagi kematian yang disebabkan kemalangan dan RM50,000 bagi kematian yang bukan disebabkan kemalangan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain