suria

Bas Hop-On Hop-Off Beroperasi Di P.Pinang

- Foto Gary Chen/THE STAR
GEORGE TOWN: Perkhidmatan bas pelancongan dua tingkat, Hop-On Hop-Off, bakal menjadi tarikan terbaharu di Pulau Pinang selepas bas itu dilancarkan Ahad.

Pengarah Urusan Elang Wah Sdn Bhd Syed Azhar Syed Nadzir berkata pemilihan Pulau Pinang sebagai negeri kedua untuk perkhidmatan bas pelancongan itu selepas Kuala Lumpur pada 2006, kerana Pulau Pinang mempunyai potensi dan hubungan yang bersesuaian dengan perkhidmatan bas Hop-On Hop-Off.

"Pulau Pinang mempunyai cukup tarikan yang kita rasa sesuai. Dan juga connectivity adalah bersesuaian untuk Hop-On Hop-Off," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran perkhidmatan bas persiaran bandar raya dua tingkat Penang Hop-On Hop-Off oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng di sini Ahad.

Katanya sebanyak 10 bas beroperasi dengan setiap lima daripadanya akan meliputi laluan bandar dan laluan pantai merangkumi 60 lokasi sepanjang 33 perhentian serta perkhidmatannya bermula dari pukul 9 pagi hingga 8 malam.

Syed Azhar berkata sebagai permulaan pihaknya menyasarkan 300 penumpang sehari untuk tempoh enam bulan akan datang.

"Jumlah penumpang mungkin boleh cecah sampai 600 penumpang sehari kerana Pulau Pinang mempunyai potensi seperti Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata sempena pelancaran bas itu, pihaknya menawarkan perkhidmatan percuma kepada semua untuk seminggu dan sempena musim cuti sekolah harga istimewa untuk sebuah keluarga (dua dewasa, dua kanak-kanak) pada harga RM50.

Sementara itu, Lim berkata perkhidmatan bas Hop-On Hop-Off adalah satu produk baharu di negeri itu yang akan memberi pengalaman baharu kepada rakyat tempatan dan pelancong untuk menikmati pelbagai tempat menarik di Pulau Pinang.

Beliau berkata dengan adanya perkhidmatan baharu itu ia akan meningkatkan jumlang pelancong ke negeri itu sekali gus meningkatkan ekonomi negara.

"Saya berharap lebih banyak sektor swasta seperti Elang Wah Sdn Bhd boleh menawarkan produk pelancongan yang baharu, kreatif dan inovatif yang boleh menarik pelancong dan memberi hasil yang tinggi selain meneruskan kerjasama pintar dengan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mewujudkan lebih banyak produk," katanya.

Artikel Sebelum

Tiada Kerakyatan Automatik

Artikel Lain