suria

Empat Nelayan Thailand Dikhuatiri Hilang Di Perairan Terengganu

- Gambar hiasan
BESUT: Seorang nelayan warga Thailand terselamat manakala empat lagi rakannya dikhuatiri hilang setelah bot mereka dipercayai karam dekat perairan antara Pulau Perhentian dan Pulau Redang pada Rabu malam. 

Pemilik bot berkenaan Mohd Suffian Abdul Kadir, 34, membuat laporan tentang kejadian itu di Balai Polis Tumpat, Kelantan kira-kira 7 petang Khamis.

Ketika dihubungi Bernama, Mohd Suffian berkata bot yang baru dibelinya tiga tahun lalu dengan harga RM280,000 berlepas dari Jeti Tok Bali, Kelantan bersama seorang tekong dan empat awak-awak Thailand kira-kira jam 10 malam pada Selasa lepas dengan bekalan minyak cukup untuk seminggu.

Kata Mohd Suffian, beliau mendapat tahu tentang kejadian itu setelah dihubungi awak-awak yang terselamat petang Khamis.

Dalam pada itu gerakan mencari kehilangan nelayan terbabit dilancarkan walaupun menghadapi cabaran laut bergelora.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Kamsani Hassan ketika mengesahkan kehilangan bot itu berkata satu operasi besar-besaran dilancarkan pagi ini membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Marin dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia sebaik sahaja menerima laporan mengenai kehilangan itu daripada polis Tumpat, Kelantan.

Katanya kesemua yang hilang terdiri daripada nelayan dari Thailand yang bekerja dengan pengusaha bot tempatan yang berdaftar di Tumpat membabitkan seorang tekong dan tiga awak-awak.

"Kami akan berusaha untuk mencari tetapi terpaksa berhati-hati dengan keadaan air laut yang berombak besar sekarang," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Artikel Lain