suria

Malaysiakini Tarik Balik Permohonan Pesuruhjaya Kehakiman Tidak Dengar Saman Najib

KUALA LUMPUR: Malaysiakini dan dua yang lain menarik balik permohonan mereka untuk melucutkan kelayakan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Wira Kamaludin Md Said daripada mendengar saman difailkan terhadap mereka oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan setiausaha eksekutif parti Datuk Ab Rauf Yusoh.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Ab Rauf berkata tiga defendan berkenaan Mkini Dotcom Sdn Bhd, ketua pengarang Malaysiakini.com Steven Gan dan ketua editornya Fathi Aris Omar, menarik balik permohonan itu kerana Kamaludin telah dilantik sebagai hakim.

Mohd Hafarizam berkata Hakim Kamaludin memerintahkan semua defendan membayar RM3,000 sebagai kos kepada Najib dan Ab Rauf selaku plaintif.

"Hakim juga memerintahkan ketiga-tiga defendan memfailkan kenyataan pembelaan dalam masa sebulan dari hari ini," katanya kepada pemberita selepas kes itu disebut di hadapan Kamaludin di dalam kamar.

Peguam R.Vimalan mewakili semua defendan.

Pada 24 Jun, para defendan memfailkan permohonan itu atas alasan wujud bahaya berat sebelah sekiranya Pesuruhjaya Kehakiman yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat perdana menteri selepas konsultasi dengan Ketua Hakim Negara.

Mereka berkata Pesuruhjaya Kehakiman tidak menikmati jaminan tempoh khidmat dan lagipun tidak ada kepastian yang mereka akan dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu, mereka memohon untuk melucutkan kelayakan Kamaludin yang ketika itu Pesuruhjaya Kehakiman daripada mendengar saman itu dan saman itu perlu didengar di hadapan seorang hakim Mahkamah Tinggi.

Kamaludin dilantik sebagai hakim pada 12 September.

Pada 30 Mei, Najib memfailkan saman atas kapasiti peribadinya dan Ab Rauf bagi pihak Umno, mendakwa ketiga-tiga defendan telah melaporkan, mengeluarkan dan membenarkan penerbitan dua artikel bertajuk "A case of the PM reaping what he sows" dan "How much will Najib spend to keep Terengganu?".

Artikel berkenaan didakwa diterbitkan pada 14 Mei.

Plaintif mendakwa artikel berkenaan disiarkan dalam ruangan "Yoursay" portal berita www.malaysiakini.com oleh defendan-defendan sendiri atau pembantu mereka melalui komen daripada pelanggan atau pengguna portal itu yang kemudian digabungkan sebagai satu artikel di bawah tajuk utama.

Artikel bertajuk "A case of the PM reaping what he sows", berkaitan dengan dasar kerajaan dan hudud manakala artikel bertajuk "How much will Najib spend to keep Terengganu?" berkaitan isu kemelut politik di Terengganu yang berlaku pada Mei.

Najib dan Ab Rauf mendakwa defendan-defendan membenarkan penerbitan artikel berkenaan dengan sengaja selain mengetahui ia adalah tidak benar dan tuduhan melulu tanpa mempedulikan kebenarannya.

Mereka mendakwa kata-kata fitnah itu telah mencemarkan maruah mereka sebagai ahli politik, presiden Umno dan perdana menteri.

Kedua-dua plaintif mendakwa komen-komen tersebut telah membawa maksud secara sindiran untuk menunjukkan Umno tidak kompeten sebagai sebuah parti politik dan tulang belakang Barisan Nasional.

Mereka mendakwa kata-kata fitnah itu bertujuan menggambarkan Umno telah menyalah guna kuasa untuk kepentingan parti politik dan sebuah parti yang tidak demokratik serta sengaja mengada-adakan situasi yang tidak diingini.

Kedua-dua plaintif mendakwa akibat daripada penerbitan artikel itu, reputasi mereka telah terjejas teruk apabila Umno dikecam terutama di media sosial dan media massa.

Kedua-dua plaintif menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi keterlaluan, faedah, injunksi untuk menahan defendan-defendan atau pembantu mereka menerbitkan artikel tersebut, perintah bahawa defendan-defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis untuk diterbitkan di surat khabar dan kos.

Artikel Lain