suria

Polis Waspada Dengan Pembebasan 350 Ahli JI Dari Penjara Indonesia

Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Malaysia berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap pembebasan kira-kira 350 bekas pengikut Jemaah Islamiah (JI) dari penjara Indonesia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kini bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan pembebasan banduan berkenan yang dijangka berlangsung pada Jumaat.

"Pihak polis sedang bekerjasama dengan polis Indonesia bagi memastikan senarai penuh banduan yang dibebaskan diperolehi.

"Kita akan sentiasa berjaga-jaga dalam perkara ini," katanya pada sidang media di Bukit Aman pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembebasan pakar pembuat bom JI, Taufik Abdul Halim, 39, yang akan dihantar pulang ke Malaysia selepas dipenjara di Indonesia selama 12 tahun.

Taufik merupakan abang ipar kepada pengganas yang merupakan individu paling dikehendaki oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI)  Zulkifli Khir atau lebih dikenali sebagai Marwan.

"Tindakan akan diambil terhadap dia sekiranya melakukan sebarang jenayah di Malaysia.

"Pihak polis akan memantau rapi pergerakannya," katanya.

Dr Ahmad Zahid berjanji untuk memastikan negara ini tidak akan dijadikan sebagai transit kepada pengganas.

"Kami sangat komited untuk membanteras keganasan dengan menggunakan undang-undang sedia ada untuk berbuat demikian.

"Negara ini tidak akan menjadi tempat perlindungan kepada pengganas mahupun militan," katanya.

Sebelum ini Taufik dilaporkan akan dibebaskan daripada penjara Indonesia selepas dia dipenjara selama 12 tahun atas cubaan mengebom pusat beli belah di Jakarta pada 1 Ogos, 2001.

Taufik yang juga anggota kumpulan militan tempatan, Kumpulan Militan Malaysia (KMM) merupakan individu yang bertanggungjawab terhadap kejadian bunuh dan banyak kes rompakan bank.


Artikel Lain