suria

Bukan Semua Ubat Dikecualikan CBP

SERI KEMBANGAN: Kerajaan tidak bercadang mengecualikan semua ubat daripada dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) apabila ia dilaksanakan pada April tahun depan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata kementerian itu telah mengenal pasti 320 sebatian kimia yang diluluskan untuk sifar kadar dalam CBP, termasuk lebih 4,200 jenama ubat.

"Setakat ini, tiada rancangan untuk mengecualikan semua ubat daripada dikenakan CBP... tapi kami juga akan cuba agar penggunaan kelengkapan asas perubatan bagi mengurus dan merawat pesakit turut diletakkan dalam kategori itu," katanya selepas merasmikan Simposium Neuro Malaysia (MNS) di sini, Khamis.

Beliau berkata ubat-ubatan yang tidak termasuk dalam senarai ubat-ubatan perlu, akan dikenakan CBP apabila ia dilaksanakan pada April tahun depan.

Dr Subramaniam berkata demikian bagi mengulas tindakan Persatuan Farmaseutikal Malaysia (MPS) merayu kepada kerajaan pada Isnin agar semua ubat tidak dikenakan cukai di bawah CBP.

Sementara itu, mengulas kenyataan Anggota Parlimen Pasir Mas Nik Mohamad Abduh Nik Abd Aziz yang menyalahkan Thailand berikutan kadar jangkitan tinggi HIV di Kelantan, Dr Subramaniam berkata PAS perlu mendidik rakyat tentang isu itu.

"Ia berkaitan pilihan individu, jadi kerajaan Kelantan yang dipimpin PAS perlu mendampingi rakyat untuk mendidik mereka, menguatkan mereka dari segi mental.

"Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa, sempadan akan tetap berada di situ dan terserahlah kepada orang untuk menentukan pilihan mereka... memandangkan mereka diperintah oleh PAS, mereka sepatutnya lebih baik," katanya.

Terdahulu, ketika merasmikan MNS, Dr Subramaniam berkata simposium itu bertujuan memperkenalkan dimensi baharu dalam pengurusan gangguan neuro-psikiatri, khususnya dalam bidang autisme, gangguan stres pasca-trauma, schizophrenia dan banyak lagi.

"Terapi Resonan Magnetik, satu metadologi bukan invasif yang menggunakan gelombang elektro-magnetik untuk memodulatkan gelombang otak, akan memberi manfaat kepada banyak pesakit yang mengalami keadaan neurologi dan psikiatri," katanya.

Turut hadir pada majlis perasmian simposium itu ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis.

Kira-kira 100 doktor dari Malaysia, Amerika, Thailand dan Taiwan berpeluang menyaksikan satu pendekatan inovatif dalam merawat penyakit neuropsikatri pada simposium itu.

CBP, GST, Ubat

Artikel Lain