suria

Pengarah Syarikat Mengaku Tidak Bersalah Tipu RM750,000

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan menipu seorang lelaki untuk menyerahkan cek berjumlah RM750,000 berhubung mendapatkan sebuah stesen minyak, tahun lepas.


Bhopinderpal Singh Rail Singh, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul 'Ain Abdul Rahim.

Bhopinderpal Singh didakwa menipu Ng Kien Boon, 26, dengan memperdayakan mangsa bahawa tertuduh adalah seorang perunding yang boleh mendapatkan Stesen Minyak Petronas di Persiaran Puncak Jalil 2 dengan mengemukakan dokumen-dokumen iaitu Petronas Dagangan Berhad yang diketahui adalah palsu.

Perbuatan tertuduh mendorong Ng menyerahkan sekeping cek Hong Leong Bank berjumlah RM750,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat peguam Tetuan Rajan Navaratnam di No 60, Jalan Sri Hartamas 1, Sri Hartamas, di sini pada 5 Julai 2013 dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan kes disebut semula 17 Disember ini.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya S. Ravindran manakala peguam Hamidi Mohd Noh mewakili tertuduh.


Artikel Lain