suria

Laporan Audit: Hanya Sebilangan Kecil Penjawat Awam Terlibat Salah Laku

KUALA LUMPUR: Bilangan penjawat awam yang terlibat dengan salah laku seperti dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara cuma merupakan sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan penjawat awam, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau bagaimanapun menegaskan, kerajaan memandang serius kes salah laku tersebut dan usaha penambahbaikan akan terus diambil untuk mengatasi masalah tersebut.

"Kita mempunyai 1.52 juta penjawat awam. Tanggapan diberikan (oleh Laporan) bahawa semua orang melakukannya (salah laku). Tidak, saya sendiri tidak dapat katakan ia melibatkan sebilangan penjawat awam. Ia kurang daripada itu.

"Mereka yang terlibat dalam salah laku, mereka merupakan kumpulan kecil dan kami mahu menanganinya. Kami beri penekanan terhadap usaha itu," katanya pada Sesi Bersama Media: Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 3, di Angkasapuri, di sini Rabu.

Katanya tindakan disiplin yang diambil termasuk surcaj, amaran yang melibatkan penangguhan gaji dan pangkat serta dipecat. 

Terdahulu dalam ucapannya, Ali berkata pelbagai tindakan telah dilaksana oleh kerajaan dalam memastikan teguran oleh Laporan Ketua Audit Negara diambil tindakan susulan yang sewajarnya. 

Ini termasuk membangunkan Paparan Susulan Laporan Ketua Audit Negara yang dipaparkan di laman portal Jabatan Audit Negara yang menunjukkan status tindakan terkini oleh kementerian dan jabatan terbabit berkenaan isu-isu Laporan Ketua Audit Negara mulai tahun 2012. 

Satu Jawatankuasa Siasatan yang bertujuan untuk mempercepatkan proses siasatan ke atas teguran bersifat punitif yang melibatkan kes penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku dan kecuaian pelaksanaan tugas juga diwujudkan, katanya.

"Bagi memastikan siasatan yang telus dan adil dilaksanakan, pegawai-pegawai kanan dari luar kementerian yang disiasat, dilantik menjadi anggota Jawatankuasa Siasatan ini," katanya.

Selain itu, katanya status tindakan susulan Laporan Ketua Audit Negara, pegawai yang dalam prosiding tindakan tatatertib dan pegawai yang telah dikenakan hukuman tatatertib juga dipaparkan dalam laman web Jabatan Perkhidmatan Awam.

Ali berkata bagi Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 3 yang melibatkan 495 teguran, tindakan penambahbaikan sedang diambil oleh kementerian-kementerian terbabit terhadap 475 teguran pembetulan yang dibangkitkan dan statusnya boleh dipantau melalui Paparan Jabatan Audit Negara.

Katanya bagi 20 teguran yang bersifat punitif (hukuman), tindakan proaktif telah diambil oleh enam Jawatankuasa Siasatan yang ditubuhkan pada 25 September.

"Berdasarkan siasatan yang telah dijalankan, lima teguran yang melibatkan 46 orang pegawai telah dikenal pasti untuk prosiding tatatertib. Seterusnya, dua teguran di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang diteliti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," kata beliau. 

Katanya, 13 teguran lagi juga sedang diteliti lebih lanjut oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara, Jabatan Peguam Negara dan SPRM bagi tujuan mengesahkan bahawa benar-benar tidak wujud penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku dan kecuaian pelaksanaan tugas.

Jabatan Audit Negara, Ali Hamsa

Artikel Berikut

Artikel Lain