suria

Konsep Bina Kemudian Jual Rumah Tidak Wajib Dilaksanakan 2015

Abdul Rahman Dahlan.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memutuskan konsep bina kemudian jual bagi pemaju perumahan tidak wajib dilaksanakan tahun hadapan.

Menterinya Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata ia bagi mengelak berlakunya pengurangan penawaran rumah di pasaran, sekali gus boleh menyumbang kepada kenaikan harga rumah.

"Kajian yang dibuat mendapati kalau kita mewajibkan konsep bina kemudian jual ini dikuatkuasakan pada 2015, ia akan menyumbang kepada kenaikan harga rumah pada tahun hadapan.

"Jika dilaksanakan, apa yang berlaku ialah syarikat atau pemaju perumahan kecil-kecilan tidak mampu untuk membina rumah disebabkan setiap kos terpaksa ditanggung oleh mereka," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perumahan Negara di kementeriannya di sini, Rabu.

Beliau mengulas saranan yang pernah dibuat bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung bahawa semua pemaju perumahan akan diwajibkan melaksanakan konsep bina kemudian jual mulai 2015 yang kini menjadi bualan hangat dalam kalangan syarikat pemaju dan orang ramai.

Menerusi konsep yang bertujuan mengelakkan pembeli teraniaya akibat projek terbengkalai, pembeli cuma membayar 10 peratus deposit dan baki 90 peratus lagi hanya dibayar selepas rumah siap.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata beliau telah meneliti ucapan yang dibuat bekas rakan sejawatnya di Dewan Rakyat pada 2012, dan mendapati Chor hanya menyatakan kerajaan berniat untuk mewujudkan sistem bina kemudian jual pada 2015 jika keadaan sesuai.

"...dan ketika ini kita beranggapan bahawa masanya belum sesuai untuk konsep itu dilaksanakan, apatah lagi dengan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) serta fenomena kenaikan harga rumah yang agak tinggi, sudah tentu ini bukan sesuatu yang ingin kita laksanakan pada 2015," katanya.

Abdul Rahman bagaimanapun menegaskan kementerian tidak menolak terus konsep itu, malah menyambut baik hasrat mana-mana pemaju untuk melakukannya secara sukarela untuk memberikan imej positif kepada syarikat dalam kalangan pembeli.

"Ia platform pemasaran bagi mereka, kita ucapkan tahniah dan cadangkan mereka meneruskannya. Tapi ia tak boleh dikuatkuasakan sebab jika diwajibkan kita khuatir harga rumah akan semakin meningkat," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata kementerian sedang berbincang dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi membangunkan sebuah pangkalan data komprehensif menghimpunkan segala maklumat, statistik dan data berkenaan pembangunan perumahan.

Beliau berkata ketika ini semua agensi kerajaan seperti Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN) memiliki pangkalan data sendiri dan cabaran utama kepada kementerian adalah dari aspek mendapatkan statistik yang sahih dan berwibawa yang boleh diakses oleh semua pihak, termasuk orang awam.

Ini penting untuk memudahkan proses perancangan perumahan oleh semua agensi kerajaan jika segala maklumat atau statistik dikongsi bersama dalam satu pangkalan data, katanya.

Abdul Rahman juga memohon kerjasama kerajaan negeri supaya tidak 'berebut' memberikan senarai nama pemohon masing-masing bagi projek perumahan yang dibangunkan kerajaan persekutuan seperti Program Perumahan Rakyat dan Skim Rumah MyHome kerana ia boleh menyebabkan kelulusan permohonan mengambil masa yang lama.

Katanya tindakan beberapa negeri yang berkeras mahu supaya senarai nama yang diberikan kerajaan negeri sahaja digunakan disifatkannya tidak begitu tepat kerana senarai nama yang dikumpul JPN juga mengambil kira keperluan pemohon dari setiap negeri.

"Kita memohon kerajaan negeri memberi kelonggaran supaya kerajaan pusat boleh menggunakan senarai pemohon yang telah dikumpulkan oleh JPN ... janganlah kita bergaduh soal ini sebab ia akan menyebabkan masalah dari segi koordinasi," katanya.

ABdul Rahman Dahlan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain