suria

13,000 Anggota Bomba Seluruh Negara Sedia Depani Banjir

Anggota Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang membantu mangsa banjir ketika mengadakan simulasi persediaan menghadapi bencana banjir 2014/2015 di Sungai Kuantan di sini, Rabu.
KUANTAN: Seramai 13,000 anggota bomba di seluruh negara kini bersiap siaga untuk berdepan dengan musim tengkujuh yang dijangka berlaku pertengahan November ini.

Penolong Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Soiman Jahid berkata, bilangan terbabit adalah yang akan berkhidmat di negeri yang dikenalpasti akan berlaku banjir.

"Jika berlaku banjir besar di sini (Pahang) dan anggota tidak mencukupi, anggota dari negeri berhampiran akan membantu.

"Begitu juga dari segi keperluan logistik, bomba akan menggunakan semua keperluan yang ada di negeri berhampiran untuk digunakan bagi negeri yang menghadapi bencana banjir," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas membuat tinjauan latihan bencana banjir di sini hari ini bagi menguji kemahiran anggota bomba berhadapan dengan situasi mencemaskan.

Beliau berkata, kerajaan juga telah meluluskan perolehan bagi penambahan 100 buah bot penyelamat serta 100 buah lori pengangkut bagi tujuan menyelamatkan mangsa banjir yang akan diserahkan kepada negeri-negeri berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata buat masa ini situasi di Cameron Higlands adalah terkawal namun pihak berwajib sedang melakukan kajian terhadap struktur tanah tinggi serta pemulihan laluan utama di lokasi itu.

"Ingin saya menyarankan agar semua kenderaan berat tidak menggunakan laluan Tapah-Cameron Hinglands kerana laluannya yang sempit dan licin.

"Jika berlaku tanah runtuh atau kejadian tidak diingini adalah sukar bagi bomba melakukan kerja menyelamat di kawasan berkenaan," katanya.

Dalam kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Cameron Highlands 5 Nov lalu, lima orang terkorban manakala lima lagi cedera. 


bomba, banjir, bot

Artikel Lain