suria

Kecelaruan Identiti Perlu Ditangani Dengan Baik - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Kecelaruan identiti yang berlaku dalam masyarakat kini adalah masalah semasa yang perlu ditangani secara baik oleh semua pihak, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata masalah kecelaruan identiti itu tidak terlalu menonjol dalam masyarakat dahulu namun ia semakin menular pada masa ini.

"Sebab itu kita dapati ada orang yang nampak macam wanita tapi dia sebenarnya lelaki, ada pula yang sebaliknya. Jadi, pakaian yang dia pakai ini, kita kata ini pakaian lelaki tetapi sekarang, lelaki perempuan semua pakai semacam (sama), semua pakai seluar, semua pakai jeans.

"Ini masalah semasa ... dulu tidak ada masalah. Dulu kita tahu orang perempuan macam ini, orang lelaki macam ini, tapi sekarang dah berbeza," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2014 di sini, Selasa.

Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan yang memperuntukkan hukuman terhadap golongan lelaki Islam berpakaian wanita di tempat awam adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus yang mengetuai panel tiga hakim membuat ketetapan itu, selepas membenarkan rayuan tiga lelaki untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan yang menolak semakan kehakiman mereka bagi mencabar undang-undang syariah itu.

Sidang kemuncak tiga hari itu bermula hari ini, bertemakan 'Negara Madani dan Perspektif Islam'.

Dr Mahathir Mohamad, LGBT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain