suria

Terengganu Cadang Wujud Jawatan Warden Khas Asrama Sekolah Kerajaan Negeri

Ghazali Taib
DUNGUN: Kerajaan negeri Terengganu sedang mempertimbangkan cadangan mewujudkan satu jawatan baharu 'warden khas' untuk ditempatkan di asrama sekolah tertentu milik kerajaan negeri.


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, beliau akan membentangkan cadangan itu dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Rabu ini.

"Ini kerana bebanan kerja warden sedia ada yang turut menjadi guru di sekolah agak berat dan ia antara faktor yang menyebabkan berlakunya kes buli di asrama.

"Melalui jawatan baharu itu nanti, warden tidak akan mengajar di sekolah, sebaliknya hanya memberi fokus terhadap kebajikan dan keselamatan pelajar sepanjang berada di asrama," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian wang bantuan anak angkat Yayasan Pelajaran Mara dan Universiti Kolej Bestari kepada 46 pelajar di sini, Isnin.

Setakat ini, katanya, keadaan pelajar di kesemua 82 buah asrama sekolah yang terdapat di seluruh Terengganu berada dalam keadaan yang baik serta selamat dan kerajaan negeri belum pernah menerima sebarang laporan mengenai kes buli yang teruk setakat ini.

Namun, beliau tidak menafikan memang ada berlaku kes-kes buli yang terpencil membabitkan pelajar tingkatan satu dan tingkatan dua sebelum ini, namun ia tidak begitu serius dan tindakan sewajarnya telah diambil.

"Kerajaan negeri memandang serius kes buli di asrama ini dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) juga sentiasa memantau keadaan di asrama-asrama sekolah bagi memastikan perkara itu tidak berlaku," katanya.

Daripada sejumlah 82 buah sekolah berasrama, hanya sekolah imtiyaz (empat) dan sekolah menengah agama negeri (10) yang dikendalikan kerajaan negeri akan mempunyai jawatan baharu itu, kata beliau. 


Terengganu, Ghazali Taib, warden

Artikel Lain