suria

Laporan Audit: Projek 1BestariNet Tidak Capai Objektif

PETALING JAYA: Projek 1BestariNet Kementerian Pendidikan tidak memenuhi sasaran tempoh dua tahun setengah untuk menyediakan khidmat jalur lebar 4G serta Platform Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) kepada 10,000 sekolah di seluruh negara, menurut Laporan Ketua Audit Negara.


Siri ketiga laporan ini yang dibentangkan di Parlimen pada Isnin, menyatakan bahawa sambungan jalur lebar di hampir 90 peratus daripada 46 sekolah yang diuji adalah 'tidak memuaskan'.

Selain itu, 58 peratus daripada 501 sekolah memaklumkan bahawa 1BestariNet tidak dapat digunakan di seluruh kawasan sekolah mereka.

Projek itu dikendalikan YTL Communications Sdn Bhd pada 2011.

Menurut laporan, projek berkenaan telah dilaksanakan sebelum guru dan pelajar dilatih sepenuhnya mengguna VLE.

"Penggunaan VLE oleh guru, pelajar dan ibu bapa adalah sangat rendah, 0.01 hingga 4.69 peratus," jelas laporan itu, sambil menambah bahawa kajian peralatan di sekolah tidak dilakukan dengan yang tepat sebelum internet dipasang.

Jabatan Audit mengesyorkan agar kementerian menyediakan garis panduan yang betul berkaitan VLE kepada semua sekolah yang boleh digunakan oleh guru, pelajar dan ibu bapa .

Turut digesa supaya Pejabat Perdana Menteri melakukan pemeriksaan bebas terhadap penggunaan VLE dan jaringan internet  untuk memastikan akses yang memuaskan.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan menjelaskan kegagalan mencapai objektif projek 1BestariNet kerana kelewatan pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri meluluskan permit pembinaan menara di lokasi yang ditetapkan.

Menerusi maklum balas itu, kementerian itu berkata, pihaknya memantau kerja yang dijalankan kontraktor dan status projek yang dilaksanakan di semua peringkat sejak Januari 2013.

"Pemeriksaan berkala juga dijalankan menerusi sistem atas talian terutama berkaitan prestasi kontraktor dan perkara ini diketengahkan pada mesyuarat operasi di semua peringkat," kata kementerian itu.

Audit negara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain