suria

Prestasi Pengurusan Kewangan 2013 Lebih Baik - Ketua Audit Negara

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed bersama timbalannya, Dr Tan Seng Giaw (kiri) menunjukkan buku laporan Ketua Audit Negara pada mesyuarat PAC di Parlimen di sini, Isnin.
KUALA LUMPUR: Prestasi pengurusan kewangan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bagi 2013 adalah lebih baik berbanding dua tahun sebelumnya dengan peningkatan jumlah yang mendapat penarafan sangat baik iaitu empat bintang.


Ketua Audit Negara, Tan Sri Amrin Buang berkata, sebanyak 194 kementerian, jabatan dan agensi mendapat penarafan itu  berbanding 143 pada 2012 dan 111 pada 2011.

"Pencapaian ketara ini menunjukkan pelaksanaan Indeks Akauntabiliti (IA) memberi dorongan kepada pegawai untuk mengambil tindakan penambahbaikan terhadap pengurusan kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan berhubung laporan Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan dan Pengurusan Kewangan 2013 serta Aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun dan Kerajaan-kerajaan Negeri Siri 3 yang dibentangkan di Parlimen pada Isnin selepas mendapat perkenaan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Amrin berkata, bagi Siri 3 sebanyak 62 pengauditan prestasi dan 22 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan dilaksanakan di peringkat persekutuan dan negeri.

"Pengauditan yang dilaksanakan merangkumi bidang pembinaan, penyelenggaraan, penguatkuasaan undang-undang, perolehan, pengurusan aset, pengurusan hasil cukai, program peningkatan sosioekonomi, pertanian, infrastruktur, teknologi maklumat dan komunikasi serta pengurusan syarikat," katanya.

Amrin berkata, dalam laporan Siri 3 itu, Jabatan Audit Negara mengemukakan 112 syor kepada kerajaan persekutuan, 22 (badan berkanun persekutuan) dan 136 (kerajaan negeri) bagi memperbaiki kelemahan yang dilaporkan.

Beliau berkata, setakat 10 November, pihaknya melakukan pengauditan terhadap 462 penyata kewangan kerajaan serta agensi kerajaan bagi tahun 2013 dan daripada jumlah itu 416 penyata kewangan diberikan Sijil Audit Tanpa Teguran.

Sementara itu, 12 penyata kewangan diberi Sijil Audit Berdasarkan 'Emphasis of Matter'; 20 diberi Sijil Audit Berteguran kerana terdapat beberapa piawaian perakaunan yang tidak dipenuhi sepenuhnya; 11 masih dalam proses pengauditan; manakala tiga lagi penyata kewangan belum dikemukakan.

Kandungan dan sinopsis laporan Siri 3 boleh dilayari dalam laman web Jabatan Audit Negara di http://www.audit.gov.my mulai Isnin dan sebarang pertanyaan atau pandangan boleh dialamatkan kepada Warkah Untuk Ketua Audit Negara.

Selain itu, sesi 'townhall' bersama media mengenai laporan itu diadakan pada Rabu (12 November) di Angkasapuri di sini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua-ketua Setiausaha Kementerian.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 1 dibentangkan di Parlimen pada 7 April 2014, manakala Siri 2 pada 16 Jun lalu. Bernama

Artikel Lain