suria

Tindakan Tegas Terhadap Syarikat Konsesi Lengah Penstrukturan Air - Azmin

Azmin Ali
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan mengenakan tindakan lebih tegas terhadap syarikat konsesi yang melengah-lengahkan proses penstrukturan semula industri air di negeri itu.


Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan itu adalah untuk mengelakkan pengguna dan rakyat daripada menerima kesan kelewatan penyelesaian penstrukturan itu.

"Menteri (Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) sendiri nyatakan dalam tempoh lima minggu, ada perjanjian yang perlu ditandatangani syarikat konsesi dengan kerajaan negeri untuk pelaksanaan penstrukturan industri air dan tempoh itu akan tamat dalam masa terdekat.

"Maka, kerajaan negeri mengambil ketetapan untuk mengenakan pendirian yang lebih tegas," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau ditanya mengenai status proses penstrukturan semula industri air di Selangor.

"Kerajaan negeri akan keluarkan kenyataan rasmi esok berikutan tempoh menandatangani perjanjian antara kerajaan negeri dan syarikat konsesi akan tamat dalam masa terdekat," katanya.

Ditanya mengenai permohonan pihaknya kepada kerajaan persekutuan untuk mendedahkan kepada umum kandungan perjanjian penstrukturan semula industri air, Azmin berkata, sehingga kini surat yang dihantar kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) masih belum berjawab.

"Saya dah hantar tiga minggu lepas kepada menteri mohon kerajaan pusat mendedahkan isi perjanjian penstrukturan tersebut.

Pada 18 Oktober lepas, Menteri Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menyatakan kandungan perjanjian tersebut yang ditandatangani antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri Selangor belum boleh didedahkan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendapatkan nasihat daripada Pejabat Peguam Negara. - Bernama 


Azmin Ali, air, syarikat konsesi

Artikel Lain