suria

Pendaki Solo Mula Latihan Fasa Pertama Tawan Everest

Mohd Nor
PETALING JAYA: Pendaki solo negara, Mohd Nor Mat Amin yang mencabar dirinya untuk menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest pada Mac depan kini memulakan misi latihan fasa pertama di Banjaran Himalaya.

Setakat ini, 20 rakyat Malaysia berjaya mendaki 8,848 meter sehingga ke puncak gunung yang terletak di Taman Negara Sagamantha itu.
 
Berusia 47 tahun, Mohd Nor akan melakukan penyesuaian diri dengan mendaki Gunung Kala Pattar, Nepal sebelum ke Everest Base Camp.

"Menerusi misi kali ini, saya berhasrat mencipta kelainan dengan membawa bersama jenama syarikat tempatan atau Brands of Malaysia yang terdiri daripada syarikat-syarikat korporat dan agensi perniagaan ternama negara menuju ke persada dunia, begitu juga institusi pengajian tinggi negara dan ketika ini semua perancangan masih diperingkat perbincangan," katanya kepada mStar Online.

Mat Nor yang juga jurugambar akhbar Utusan Malaysia itu berlepas sendirian pagi Khamis ke Himalaya dan dijangka kembali pada 25 November ini sebelum ke India untuk menjalani latihan fasa seterusnya dan ke Nepal semula pada Februari depan.

Setakat ini, sudah 20 rakyat Malaysia berjaya menjejakkan kaki di Gunung Everest.

Sebelum ini, antara pencapaian Mat Nor adalah mendaki Gunung Kinabalu yang tertinggi di negara ini sebanyak 50 kali secara solo pada 10 Julai hingga 10 September 2007.

Setahun kemudian pada 27 Ogos, Mohd Nor mendaki pula tangga Menara Kuala Lumpur sebanyak 20 kali dalam tempoh 24 jam. 

Dari Disember 2009 hingga 9 Mei 2010, pendakian solo sebanyak 111 kali Gunung Kinabalu berjaya diraihnya.

Terbaharu, pada 22 hingga 24 Ogos tahun ini menerusi DRB-Hicom Mission 57Y67H, beliau mencatat sekali lagi nama dalam Malaysia Book of Records (MBoR) dengan mendaki sehingga ke puncak gunung tersebut selama 57 jam tanpa henti.

Malah, Mohd. Nor adalah jurugambar pertama di dunia berjaya memproses gambar berwarna secara manual di Everest Base Camp pada 1997.

Berdasarkan rekod pencapaian anak jati Terengganu  yang membanggakan itu mendorong beberapa agensi pendakian di Nepal menghubunginya kerana yakin beliau mampu menawan puncak tertinggi dunia itu.

“Sebenarnya pada 2010 lagi, saya ditawarkan permit untuk mendaki Everest oleh agensi pendakian gunung di Nepal tetapi terpaksa menolaknya kerana kos terlalu tinggi dan juga kerana masa itu tiada misi dan visi khusus untuk negara,” katanya yang mengharapkan sumbangan sektor korporat untuk merealsasikan misi itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain