suria

Mufti Dijangka Menghadap Sultan Selangor Hari Ini Berhubung Isu SIS

Mohd Tamyes
SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyatakan Mufti Negeri dijangka menghadap Sultan Selangor pada Khamis bagi mendapatkan nasihat berhubung kontroversi fatwa berkaitan pertubuhan 'Sisters In Islam (SIS)'.

Sumber Mais berkata pertemuan itu dilakukan berikutan pertubuhan itu baru-baru ini mahu memohon untuk membuat semakan kehakiman mengenai fatwa majlis agama Islam itu yang mengisytiharkan fahaman dibawa SIS sebagai sesat.

Menurut sumber itu lagi, kontroversi yang melibatkan fatwa akan diselesaikan Jabatan Mufti Selangor berikutan sebarang isu mengenainya adalah di bawah bidang kuasa jabatan itu.

Bagaimanapun, Pengerusi Mais Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa ketika ditemui pada Majlis Anugerah Qudwatul Hasanah Muallaf Mais 2014 malam ini enggan mengulas lanjut berhubung isu berkenaan.

Pada Rabu, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mencadangkan Mais, Mufti Negeri Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan SIS bertemu bagi meleraikan kontroversi fatwa yang berkaitan dengan pertubuhan bukan kerajaan itu.

Mohamed Azmin berkata beliau telah mendapatkan penjelasan mengenai isu itu menerusi Mufti Negeri dan kemudian membincangkannya dalam Mesyuarat Dewan Diraja Selangor yang kebetulan diadakan pada Isnin lepas.

Tambah beliau dengan perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah, konsultasi dan pertemuan yang dijalankan tanpa prasangka akan membantu untuk membawa suasana harmoni seperti mana yang dianjurkan oleh Islam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain