suria

Bimbang Prejudis, Mufti Selangor Tak Akan Temui SIS

Tamyes Abdul wahid.
SHAH ALAM: Mufti Selangor, Datuk Seri Tamyes Abdul Wahid tidak akan mengadakan pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sister In Islam (SIS) dalam jangka masa terdekat.

Beliau berkata, adalah lebih baik pertemuan itu tidak diadakan kerana bimbang akan menimbulkan prejudis berikutan tindakan SIS mengemukakan semakan kehakiman di mahkamah berhubung status mereka.

"Tunggulah nanti kalau mereka (SIS) nak lawan di mahkamah. Jika kita bertemu, akan jadi prejudis pula nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Seminar Kanun Jenayah Syariah di Dewan Jubli Perak di sini, Khamis.

Tamyes berkata beliau akan hanya mempertimbangkan untuk mengadakan pertemuan dengan SIS sekiranya NGO berkenaan sedia untuk bertaubat 
dan menarik semula semakan kehakiman yang telah difailkan terhadap beliau, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan kerajaan negeri Selangor.

Pada Rabu, Menteri Besar Selangor, Azmin Ali mengemukakan cadangan agar Mufti Selangor dan Mais bertemu SIS bagi menyelesaikan kontroversi berhubung fatwa terhadap NGO berkenaan.

Azmin berkata, pertemuan antara kedua-dua pihak itu perlu untuk mengelak kekeliruan dan salah faham mengenai isu SIS  dan cadangan itu dikemukakan selepas beliau mendapat perkenan Sultan Selangor.

Jumaat lalu, SIS memfailkan semakan kehakiman berhubung fatwa yang dikeluarkan oleh Mais yang mengisytiharkan kumpulan berkenaan sebagai haram kerana terlibat dengan aktiviti liberalisme, pluralisme agama dan menyebarkan ajaran menyeleweng daripada Islam.

SIS menamakan Mais, Jawatakuasa Fatwa Selangor dan kerajaan negeri sebagai responden dalam semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Azmin sebelum ini dilaporkan berkata, keputusan telah dibuat dan fatwa yang diputuskan itu perlu dihormati oleh semua pihak, kenyataan tersebut bagaimanapun mengundang kemarahan dikalangan pemimpin SIS dan beberapa NGO yang lain.  

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain