suria

Anwar Mungkin Didakwa Hina Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan didakwa atas tuduhan menghina mahkamah yang bersidang mendengar rayuan terakhir kes liwatnya selepas beliau mengeluarkan kenyataan kepada media bahawa Mahkamah Persekutuan tidak bebas dan menjadi alat kerajaan.

Ketua Pendakwaraya rayuan kes liwat tersebut, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Jabatan Peguam Negara sedang menilai kenyataan Ketua Pembangkang itu sebelum meneruskan prosiding di mahkamah.

"Saya cadangkan supaya kita tak campur aduk prosiding ini, agar ia berjalan dengan lancar.

"Tetapi Peguam Negara berkata perkara ini harus dikemukakan kepada mahkamah sebab menjadi tugas Jabatan Peguam Negara membangkitkan perkara ini supaya mahkamah dapat dilindungi.

"Sama ada kita akan ambil tindakan undang-undang...kita akan fikir balik selepas prosiding ini," katanya kepada pemberita di luar kamar Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis.

Terdahulu ketika prosiding rayuan Anwar yang masuk hari ketujuh berlangsung, Muhammad Shafee memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa Ketua Pembangkang itu telah menghina mahkamah tersebut ketika bercakap kepada media, Selasa lalu.

Memetik laporan portal propembangkang, Malaysiakini  dan portal berita, Malay Mail Online, Muhammad Shafee menyatakan, kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu membayangkan Mahkamah Persekutuan tidak bebas dan merupakan alat kerajaan untuk memaksanya bersara.

"Beliau serang mahkamah. Beliau kata saya tidak akan bersara, tetapi beliau kata lagi, kalau beliau bersara mungkin mahkamah akan buang kes ini.

"Ini seolah-olah beliau menyarankan bahawa mahkamah, kerajaan dan pihak pendakwaan bersekongkol...bahawa mahkamah tidak adil dan tak ada integriti," katanya.

Sementara itu, Anwar yang ditemui pemberita kemudiaannya menyatakan kesediaan berhadapan dengan pendakwaan tersebut.

Bagaimanapun beliau berharap Jabatan Peguam Negara menunggu sehingga prosiding kes rayuan terakhirnya terhadap hukuman penjara lima tahun di atas kesalahan meliwat selesai.

"Mengenai cadangan pertuduhan baharu oleh Peguam Negara, tentunya akan dibincangkan dengan peguam setelah kes ini selesai. Satu-satu lah. Takkan nak dakwa saya serentak," katanya.

Dalam pada itu wakil peguam bela Anwar, Ramkarpal Singh berkata, pihaknya sedia menjawab mengenai isu yang dibangkitkan Peguam Negara itu.

"Kita tak jawab lagi berkenaan isu itu. Kita tangguh dahulu aduan yang dibuat DPP. Itu akan dibuat pada masa lain," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain