suria

Tanah Runtuh: 23 Daripada 416 Calon SPM Hadapi Kesukaran

KUANTAN: Sejumlah 23 daripada 416 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Cameron Highlands terpaksa berdepan kesukaran untuk menduduki peperiksaan berikutan kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan tanah tinggi itu malam Rabu.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Pahang Mohd Razali Mustafar berkata calon terbabit menghadapi kesukaran untuk pergi ke pusat peperiksaan selepas kediaman mereka turut terlibat dalam bencana itu selain laluan ke pusat peperiksaan terjejas akibat tanah runtuh.

"Hari ini kita menerima dua calon SPM lelaki yang terpaksa masuk lewat daripada jadual peperiksaan bermula pada 8 pagi iaitu seorang tiba pada 8.30 pagi dan seorang lagi 9.05 pagi ekoran kediaman mereka di Kampung Ringlet turut dilanda bencana itu.

"Bagaimanapun kedua-dua calon diberi kelonggaran menduduki peperiksaan itu selain turut diberi masa tambahan bagi menjawab kertas peperiksaan Pendidikan Moral di Sekolah Menengah Kebangsaan Ringlet," katanya.

Selain itu, katanya, 21 calon dari Kampung Raja dan Kampung Orang Asli Terisu terpaksa diambil dari pusat pemindahan Kampung Raja selepas laluan ke pusat peperiksaan di SMK Kampung Raja terhalang akibat tanah runtuh.

Mohd Razali berkata menerusi bantuan banyak pihak kesemua calon berkenaan berjaya dibawa ke pusat peperiksaan mengikut jadual yang ditetapkan bagi menduduki peperiksaan kertas Pendidikan Islam.

Sehubungan itu, katanya, Pejabat Pendidikan Daerah mengusahakan asrama bagi menempatkan calon SPM yang terlibat dengan bencana berkenaan.

Katanya terdapat 416 calon yang menduduki SPM di tiga pusat peperiksaan di Cameron Highlands iaitu di SMK Ringlet 122 calon, SMK Kampung Raja (110 calon) dan SMK Sultan Ahmad Shah (164 calon dan 20 calon persendirian).


SPM, Cameron Highland

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain