suria

Kes Pendakwaan Penuh Keraguan, Kebetulan Tak Terhitung - Ramkarpal

Ramkarpal Singh
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan harus melepaskan dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan memandangkan kes pendakwaan itu penuh dengan keraguan dan kebetulan yang tidak terkira.
  

Peguam Ramkarpal Singh berkata, ia tidak boleh menjadi satu kebetulan apabila Mohd Saiful Bukhari bertemu dengan seorang pegawai kanan polis dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dua hari sebelum kejadian liwat yang didakwa itu.

Beliau berkata, semua bukti saintifik yang dikemukakan pihak pendakwaan dalam kes liwat itu tidak boleh dipercayai dan patut ditolak pada akhir kes pendakwaan di peringkat Mahkamah Tinggi itu sendiri.

"Kemungkinan yang nyata ialah sampel bahan itu telah tercemar dan hakikat bahawa pemerian mereka (pendakwaan) tidak sama dengan sejarah sampel yang diambil, jelas menimbulkan keraguan yang serius terhadap integriti sampel.

"Ia tidak boleh dikatakan tanpa ragu-ragu bahawa ia adalah sampel yang sama diambil daripada PW1 (Mohd Saiful Bukhari)," beliau berhujah di hadapan lima anggota panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria pada hari ketujuh prosiding rayuan akhir penasihat PKR itu.

Beliau juga tidak bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa merekalah yang membuktikan bahawa sampel itu diusik, terutama yang dikumpulkan daripada rektum pengadu.

Ramkarpal berkata, meskipun ada kemungkinan besar sampel itu diusik dan ia boleh membawa kepada pegawai penyiasat Supritendan Jude Blacious Pereira (kini bersara), pihak pembelaan tidak dapat menyoalnya memandangkan mungkin orang lain yang melakukannya.

Menyentuh keterangan dua ahli kimia, iaitu Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon, Ramkarpal berkata bahawa hakim Mahkamah Tinggi gagal menyedari kekurangan saksi dalam analisis mereka.

"Tidak akan ada sebarang sebab untuk memanggil perayu (Anwar) untuk memasukkan pembelaannya memandangkan dapatan berhubung dengan 'Lelaki Y' adalah diragukan," katanya.

(Semasa perbicaraan, Dr Seah mengesahkan bahawa profil DNA Lelaki Y adalah padan dengan profil DNA Anwar, yang dikumpulkan daripada perayu ketika beliau ditahan semalaman di ibu pejabat polis kontingen Kuala Lumpur).

Mengenai saksi utama itu sendiri (Mohd Saiful Bukhari), Ramkarpal berkata dia bukan saksi yang meyakinkan.

"Dia mungkin tidak diliwat memandangkan sebenarnya tiada bukti bahawa ada penetrasi.

"Hakikat bahawa air mani ditemui pada dubur beliau tidak boleh, dalam hal keadaan kes ini, membawa maksud bahawa beliau mengalami penetrasi kerana terdapat keraguan yang serius sama ada air mani itu benar-benar diambil daripada PW1 (Mohd Saiful Bukhari) pada 26 Jun 2008, "katanya.

Oleh itu, Ramkarpal menggesa mahkamah untuk tidak terpengaruh dengan taakulan salah pendakwaan bahkan menganggap bukti DNA itu boleh dipercayai memandangkan pembelaan berjaya menimbulkan keraguan sama ada berlaku penetrasi.

Beliau membuat kesimpulan dengan berkata rayuan itu patut dibenarkan dan perayu dilepaskan dan dibebaskan.

Pada 7 Mac, Anwar, 67, dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas kesalahan itu oleh Mahkamah Rayuan, selepas didakwa melakukan kesalahan itu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Dmansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3:10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain