Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam jawapan bertulis kepada Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam) berkata kerajaan telah mengeluarkan notis berkenaan kepada NFCorp pada 5 Mei tahun ini, dengan memberikan tempoh selama 90 hari agar syarikat berkenaan membayar ansuran pinjaman mereka.
"Bagaimanapun, NFCorp gagal menyelesaikan tunggakan pinjaman, justeru kami telah mengeluarkan satu lagi notis pemberitahuan atas kelalaian mereka pada 4 September lalu untuk memaklumkan mengenai penamatan kontrak dan kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat berkenaan," katanya.
Kerajaan telah memberi pinjaman sebanyak RM250 juta kepada NFCorp bagi membiayai projek ternakan lembu, Projek Fidlot Nasional (PFN).
Kontroversi NFCorp menarik perhatian pelbagai pihak selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan mengenai kegagalan mereka memenuhi matlamat penubuhannya, sementara pembangkang pula mendakwa berlakunya salah guna dana dalam pemberian pinjaman mudah yang diberikan kepada NFCorp.


