suria

Tidak Perlu Was-Was Terhadap Restoran Miliki Sijil Halal

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini tidak perlu berasa was-was terhadap makanan yang dihidangkan di restoran makanan segera atau restoran 24 jam yang mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) menjalankan pengauditan menyeluruh terhadap setiap restoran atau kilang meliputi aspek sumber bahan mentah, proses penyediaan, kebersihan, pekerja, peralatan, penyimpanan, pengangkutan dan persekitaran restoran atau kilang.

Beliau berkata Jakim dan Jain juga menjalankan pemantauan secara berkala ke atas setiap syarikat dan restoran pemegang sijil pengesahan halal berkenaan.

"Selain itu, Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia juga mensyaratkan setiap syarikat dan restoran atau kilang mewujudkan Sistem Jaminan Halal.

"Dalam pelaksanaan Sistem Jaminan Halal ini, syarikat wajib mengenal pasti risiko pencemaran halal, mewujudkan sistem kawalan halal dalaman termasuk audit halal dalaman dan langkah-langkah pencegahannya," katanya menjawab soalan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.

Mohd Fasiah bertanyakan mengenai langkah kerajaan bagi memastikan restoran termasuk restoran 24 jam dan makanan segera menghidangkan makanan halal kepada pelanggan Islam dan memastikan umat Islam tidak berasa was-was untuk menikmati makanan di restoran berkenaan.

Jamil Khir berkata di samping itu syarikat juga perlu menubuhkan Jawatankuasa Halal Dalaman dan melantik pekerja Muslim bagi memastikan pematuhan piawaian halal yang ditetapkan sentiasa berterusan.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Mohd Fasiah sama ada kerajaan negeri turut mengeluarkan pensijilan halal, Jamil Khir berkata setiap Jain juga mempunyai bahagian halal masing-masing bagi memudahkan urusan permohonan di peringkat negeri.

Beliau berkata bagaimanapun bagi mengelak kekeliruan berlaku, Jakim dan Jain menggunakan logo halal dan pelaksanaan prosedur permohonan yang sama.

"Prosedur ini ada dalam talian untuk memudahkan penyelarasan dan juga cara permohonan yang seragam. Badan berautoriti mengeluarkan sijil halal hanyalah Jabatan Agama Islam Negeri dan Jakim," katanya.

Sementara itu, Jamil Khir berkata dalam isu memperoleh sijil halal adalah atas sukarela pihak restoran makanan segera berkenaan dan tidak bersifat wajib kerana terdapat kekangan tertentu dalam konteks pasaran yang perlu diambil kira.

Selain itu, katanya, sekiranya perlu diwajibkan semua sumber makanan perlu mempunyai sijil halal, ia akan memberikan kekangan kepada pihak industri kecil dan sederhana, seperti orang perseorangan yang berniaga nasi berlauk dan keropok lekor di kampung.

Sijil Halal, Jakim

Artikel Lain