suria

Warga Emas Parah Disamun Dua Lelaki

BUTTERWORTH: Seorang wanita cedera di kepala dan luka di tangan selepas terjatuh akibat diragut dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal di Tingkat Kurau 4, Taman Chai Leng, di sini, Selasa.

Ching Ah See, 62, diragut ketika melintas jalan untuk ke keretanya selepas keluar dari pejabat Pos kira-kira 5 petang, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor.

"Ketika hampir sampai ke kereta mangsa yang diletakkan di tepi jalan, sebuah motosikal Honda Wave yang dinaiki dua lelaki, menghampirinya dan menarik beg tangan yang dipegang wanita itu.

"Akibat ditarik kuat oleh seorang daripada lelaki berkenaan, mangsa terjatuh ke atas jalan menyebabkan dia mengalami kecederaan di kepala dan luka di tangan kanan serta kiri," katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.

Beliau berkata orang ramai yang berada di kawasan itu cuba mengejar dua peragut berkenaan tetapi gagal.

Rusli berkata wanita berkenaan yang tinggal di Pangsapuri Idaman, Taman Pauh di sini pengsan ketika dihantar ke Hospital Seberang Jaya dan keadaannya kini dilapor stabil.

"Beg dan dokumen yang disamun dua lelaki terbabit telah dijumpai tidak jauh dari lokasi ragut itu oleh orang awam dan dihantar ke Balai Polis Taman Chai Leng, bagaimanapun wang tunai sebanyak RM600 di dalam beg itu hilang," katanya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu atau mempunyai maklumat mengenainya agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Polis, Samun

Artikel Lain