suria

Rayuan Saari, Hasnul Ditentukan 2 November Ini

Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.

PETALING JAYA: Keputusan rayuan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) yang digantung keahliaan selama setahun oleh Jawatankuasa PAS pusat akan diketahui 2 November ini.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, Majlis Syura Ulama akan mengadakan mesyuarat pada Ahad ini bagi menentukan nasib dua Adun berkenaan.

"Surat rayuan daripada kedua-dua Adun berkenaan telah saya terima pada Isnin. Oleh itu, mesyuarat Majlis Syura pada 2 November ini akan menentukan sama ada rayuan yang dikemukakan oleh mereka akan diterima atau sebaliknya.

"Mesyuarat akan dipengerusikan sendiri oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di Pejabat PAS pusat, Jalan Raja Laut, pada pukul 5 petang," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.

Ditanya sama ada kedua-dua Adun berkenaan akan dipanggil, Nik Muhammad Zawawi berkata: "Tidak.. Majlis Syura Ulama tidak akan panggil mereka. Sebaliknya mesyuarat pada hari tersebut akan membuat keputusan terhadap rayuan yang dikemukakan."

Sementara itu, Saari ketika dihubungi berkata, beliau telah mengemukakan rayuan pada Isnin lalu dan kini terserah kepada Majlis Syura Ulama untuk membuat keputusan.

"Saya tunggu maklum balas daripada Majlis Syura Ulama baru saya boleh ulas lanjut, semuanya terserah kepada mereka," katanya.

Pada 11 Oktober lalu, Jawankuasa PAS pusat membuat keputusan menggantung keahliaan Saari dan Hasnul selama setahun berkuat kuasa tarikh sama.

Bagaimanapun, kedua-dua Adun berkenaan diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan secara bertulis dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penggantungan dibuat kepada Majlis Syura Ulama parti mengikut fasal fasal 83 (4) (5)  Perlembagaan PAS pindaan 2011.

Pada 29 September lalu, Saari dan Hasnul dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung tindakan mereka menandatangani surat akuan bersumpah menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal untuk jawatan menteri besar Selangor.

Tindakan kedua-dua Adun itu dianggap bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas pada 7 Ogos lalu yang memutuskan bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak boleh digugurkan daripada jawatan menteri besar selagi beliau tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkannya disingkirkan.

Artikel Lain