suria

Adun Sarawak Digesa Tolak Persempadanan Semula

Dewan Undangan Negeri Sarawak mempunyai 71 kawasan ketika ini.
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sarawak digesa menolak cadangan persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.


Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu, Sim Tze Tzin mendakwa, persempadanan semula itu bakal menyaksikan pertambahan jumlah kerusi DUN kepada 82 berbanding hanya 71 kerusi sebelum ini.

"Saya ingin menyeru Adun Sarawak baik dari Pakatan Rakyat atau BN (Barisan Nasional) untuk menolak sebarang penambahan kerusi DUN. Penambahan kerusi akan mengurangkan suara Adun.

"Semakin ramai Adun, semakin hebat persaingan untuk meminta peruntukan untuk kawasan masing-masing khususnya dari kawasan luar bandar dan pedalaman," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, Khamis.

Menurut beliau, Draf Rang Undang-Undang persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak akan dibentangkan apabila DUN negeri itu bersidang antara 11 hingga 19 November ini.

Bagaimanapun gesaan Tze Tzin yang juga Ahli Parlimen PKR kawasan Bayan Baru itu dilihat bertentangan dengan pendirian parti sekutunya dalam Pakatan Rakyat.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, Sarawak sememangnya memerlukan lebih banyak kawasan Parlimen dan DUN baharu untuk pentadbiran dijalankan dengan baik dan lancar.

Katanya, walaupun penduduk Sarawak tinggal bertaburan dan jauh dari bandar, perkara ini perlu dikaji semula untuk memenuhi keperluan penduduk tersebut agar mereka dapat menunaikan hak sebagai pemilih.

Sarawak mempunyai 31 Kawasan Parlimen dan 71 kawasan DUN.

Mengulas lanjut Tze Tzin turut mempersoalkan rasional Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan penambahan kerusi dalam jumlah yang banyak.

"Penambahan 11 kerusi atau sebanyak 15.5 peratus adalah drastik dan mengejutkan. Selama ini umum menganggap SPR hanya akan menambah paling banyak enam kerusi DUN Sarawak.

"SPR harus menjawab apakah rasional penambahan mendadak kerusi tersebut. Jika gagal menjawab persoalan tersebut, rakyat akan menganggap SPR diperalatkan oleh BN," katanya.



Sarawak, DUN, persempadanan, Sim Tze Tzin

Artikel Sebelum

Jurang Pendapatan Bah.2

Artikel Berikut

Artikel Lain