suria

Bawa Zhang Jian Ke Malaysia Untuk Tindakan Undang-Undang

Zhang Jian.
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa supaya mengheret pengasas skim cepat kaya YSLM, Zhang Jian pulang ke negara ini untuk didakwa mengikut undang-undang Malaysia.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, Zhang perlu dibicara dan diadili di negara ini berdasarkan rekod kesalahan yang dilakukannya.

"Sekarang dia ditahan di Thailand, dan saya mahu kerajaan kita daripada mana-mana kementerian yang terlibat untuk mendapatkan bantuan Interpol bagi membawa Zhang Jian dan kumpulannya ke Malaysia untuk didakwa," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini, Rabu.

Beliau mengulas mengenai perkembangan terbaharu apabila Zhang iaitu lelaki warganegara China yang menggelarkan dirinya 'bakal orang terkaya di dunia' ditahan oleh pihak berkuasa Thailand.

Zhang ditahan polis Thailand berkaitan skim piramid yang melibatkan mangsa di China dan Malaysia dengan jumlah lebih kurang 6 juta baht (RM600 juta) dan 3 juta baht (RM300 juta).

Terdahulu Dewan Rakyat diberitahu bahawa mahkamah sudah mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang lagi pengarah syarikat CDTUP International Sdn Bhd yang menaungi skim cepat kaya kendalian Zhang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hassan Malek berkata, kerajaan juga sudah membatalkan lesen jualan langsung syarikat CDTUP International Sdn Bhd pada 24 September lalu kerana melanggar syarat lesen dan disyaki menjalankan perniagaan berunsur skim piramid.

"Kertas siasatan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA 2001) juga telah dibuka dan tindakan pembekuan serta penyitaan harta yang diperolehi melalui aktiviti haram mereka sedang dijalankan," katanya menerusi jawapan bertulis pada Rabu.
Zhang Jian, skim cepat kaya

Artikel Lain