suria

Pagar Cuba Dirempuh, Anggota Polis Dibaling Telur

PUTRAJAYA: Berlaku kekecohan di luar Istana Kehakiman, di sini, apabila sekumpulan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba merempuh besi penghadang yang dipasang pihak berkuasa.

Kekecohan berlaku kira-kira 10 minit sebelum prosiding hari kedua yang berhenti rehat disambung semula pada pukul 2.30 petang Selasa.

Ia bermula apabila kumpulan terbabit memukul poster Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan kasut beramai-ramai sebagai tanda protes.

Tidak lama kemudian beberapa lelaki daripada kumpulan terbabit meluru ke arah penghadang besi yang dikawal pasukan keselamatan dari bahagian dalam dan cuba merempuhnya.

Salah seorang daripada mereka mendakwa terdapat anggota polis yang bertindak menendang salah seorang ahli daripada kumpulan penyokong itu dan menuntut supaya anggota polis memohon maaf.

Sedang anggota keselamatan mengawal rempuhan, salah seorang anggota polis terkena telur yang dibaling dari arah belakang.

Kekecohan tersebut akhirnya dileraikan oleh anggota parti yang lain.

Tidak cukup dengan itu, kumpulan terbabit juga bertindak membakar poster Mohd Saiful.

penyokong Anwar, baling telur

Artikel Lain