suria

Penjawat Awam Perlu Berfikir, Bertindak Di Luar Kebiasaan Lahir Idea Kreatif - TPM

Muhyiddin Yassin
SERDANG: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan supaya penjawat awam berfikir dan bertindak di luar kebiasaan untuk melahirkan idea kreatif melalui tindakan inovatif.


Muhyiddin berkata, penjawat awam perlu sentiasa berani untuk mencabar status quo dan menyanggah pendekatan konvensional dengan menampilkan idea-idea unik di luar kebiasaan.

Dalam hal itu, peranan ketua jabatan penting bagi menyediakan ruang serta peluang kepada warga organisasinya melebarkan horizon pemikiran dan menampilkan inovasi yang bitara, katanya semasa berucap sempena Hari Inovasi dan Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri 2014 di sini, Rabu.

Katanya, ketua jabatan juga perlu lebih kreatif dalam menyediakan pelbagai platform menjana dan menggalakkan percambahan idea baharu.

"Perkara itu bagi menggalakkan kakitangan secara sukarelanya merasa terpanggil untuk mengusahakan sesuatu pembaharuan yang dapat memudahkan tugas, " katanya.

Muhyiddin berkata, beberapa pendekatan boleh diusahakan ketua jabatan antaranya dengan mengadakan sesi percambahan idea, memberi peluang kepada kakitangan menyertai latihan serta memberi insentif dan pengiktirafan kepada yang berjaya mencetus perubahan positif.

Muhyiddin berkata, dengan wujudnya ekosistem inovasi yang positif, ia dapat menggerakkan pembudayaan inovasi seiring dengan budaya kecemerlangan.

Pada majlis itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dinobatkan pemenang Jabatan Paling Inovatif.

Turut menerima anugerah ialah Parlimen Malaysia bagi Anugerah Peneraju e-Perolehan dan Anugerah Pusat Tanggungjawab Terbaik pula dimenangi Bahagian Hal Ehwal Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain