suria

BR1M Tidak Tambah Kadar Defisit Negara - Chua

KUALA LUMPUR: Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak meningkatkan kadar defisit negara walaupun jumlah penerima dan nilai bantuan itu meningkat setiap tahun, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Rabu.  

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata malah kadar defisit negara berkurangan sejak BR1M diperkenalkan pada 2012, dan dijangka mencecah kadar tiga peratus pada 2015. 

Beliau berkata penerima BR1M pada 2012 adalah seramai 4.2 juta dan dijangka meningkat kepada 7.1 juta tahun depan, iaitu peningkatan 73 peratus. 

Selain itu, katanya nilai bantuan juga meningkat 160 peratus iaitu RM2.1bilion pada 2012 kepada RM5.2 bilion bagi tempoh yang sama. 

"Kerajaan sentiasa menilai kedudukan fiskal dan kedudukan kewangan negara apabila memberi bantuan-bantuan yang diumumkan," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baharu) yang bertanya mengenai mekanisme kerajaan dalam memastikan pemberian BR1M tidak menjadi beban kepada negara pada masa depan.

Kadar defisit fiskal negara berkurangan daripada 4.5 peratus pada 2012 kepada empat peratus pada 2013, dan dijangka terus menurun kepada 3.5 peratus tahun ini. 

Menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) mengenai langkah mengelakkan penyelewengan dalam pengagihan wang BR1M, Chua berkata pemilihan penerima dibuat mengikut kriteria yang ditetapkan. 

"Kerajaan telus bantu sesiapa sahaja. Jumlah yang diluluskan juga dinilai serta dikaji setiap tahun," jelasnya.

Terdahulu, semasa menjawab soalan asal Abdul Aziz mengenai peruntukan pemberian BR1M  tahun ini dan pecahan mengikut negeri, Chua berkata sebanyak tujuh juta penerima menikmati bantuan itu dengan peruntukan RM3.7 bilion. 

Selangor merupakan negeri yang mempunyai bilangan penerima tertinggi BR1M2014 dengan peruntukan sebanyak RM413 juta melibatkan 986 penerima, diikuti Johor dan Sarawak.

BR1M

Artikel Lain