suria

Rasuah: Empat Pembalak Dipenjara Sehari, Denda RM80,000

Empat pembalak haram dipenjara sehari dan denda RM80,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Limbang pada Khamis.
KUCHING: Empat pembalak haram masing-masing dipenjara sehari dan didenda berjumlah RM80,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah Limbang selepas mengaku bersalah menawarkan rasuah kepada pegawai penguat kuasa bagi melindungi aktiviti mereka.


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan di sini pada Khamis berkata, Pau Yu Tek, 54; Ting Chuong Mew, 72; Tang Chung Yieng, 28; dan Ngu Kok Tung, 37; membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbong.

Yu Tek, kontraktor pembalakan separuh masa yang beroperasi secara haram di Limbang dikenakan denda tertinggi RM50,000 kerana menawarkan rasuah RM10,000 kepada pegawai polis, Asisten Superintendan Pabilah Abdullah, yang merupakan pegawai risik Pasukan Gerakan Am (PGA).

Dia menawarkan sogokan itu bagi mengelak tindakan diambil ke atas syarikatnya yang melakukan kerja-kerja pembalakan, tanpa permit Jabatan Perhutanan Sarawak (JPS) dan melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah premis bank di Bandar Lawas, Limbang pada 3.30 petang, 10 September lepas.

Tertuduh kedua, Chuong Mew didenda RM10,000 kerana menawarkan rasuah RM1,000 kepada Pabilah pada 6.20 petang, 9 September lepas di Bandar Lawas, sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana menjalankan aktiviti pengumpulan balak di Limbang tanpa permit JPS.

Chung Yieng pula didenda RM10,000 kerana menawarkan suapan RM1,000 kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penolong Penguasa Kanan, Sendry Ugi pada 3.15 petang, 1 September lepas di Bandar Lawas, sebagai dorongan mengelak dikenakan tindakan kerana menggaji pekerja asing tanpa permit kerja yang sah.

Kok Tung pula didenda RM10,000 kerana menawarkan sogokan RM300 kepada Sendry pada 10.40 pagi juga pada 1 September lepas di Bandar Lawas sebagai dorongan supaya tidak dikenakan tindakan kerana memindahkan hasil balak menggunakan tongkangnya tanpa dokumen pelabuhan yang sah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Keempat-empat tertuduh membayar denda itu. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Kathrine Nais.

pembalak haram, SPRM, Limbang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain