suria

Penganggur Didakwa Bunuh Anggota Tentera

KLANG: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tuduhan membunuh seorang anggota tentera dua minggu lepas.

Tee Hock Keong, 47, dari Jeram dekat sini, didakwa bersama-sama dua orang lagi yang masih bebas membunuh L/Kpl Hazry Siddek, 30, di Jalan Batu Nilam 34, berhampiran Blok E, Bukit Tinggi 2 di sini, pada 2.45 pagi, 12 Oktober lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mangsa yang bertugas di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur meninggal dunia disebabkan luka tikaman pada dada.

Tee mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki itu yang ditangkap pada 16 Oktober lepas.

Majistret Ahmad Feisal Mohd Azmi menetapkan 1 Dis depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan ujian DNA.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahmoodah Ab. Latiff sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
bunuh, tentera

Artikel Lain