suria

Bekas Pemandu Peribadi Zahida Rafik Didakwa Pecah Amanah

Zahida Rafik.
KUALA LUMPUR: Bekas pemandu peribadi pelakon Zahida Rafik pada Khamis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini atas tuduhan melakukan pecah amanah wang milik pelakon itu berjumlah RM200,000 dua tahun lepas.

Noor Azman Azmi, 40, yang kini bekerja sebagai pemandu teksi didakwa melakukan pecah amanah selepas diamanahkan oleh Zahida, 40, untuk memasukkan wang itu ke dalam akaun peribadinya namun wang itu digunakan untuk kegunaannya sendiri.

Bapa tunggal kepada dua anak yang ditangkap pada Khamis didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 186 Lorong Kempas 2, Kampung Melayu Ampang pada 11.30 pagi, 29 Februari 2012.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Eric Paulsen, yang mewakili Noor Azman memohon jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamya berpendapatan RM1,500 sebulan dan perlu menanggung keluarga termasuk ibunya yang uzur.

Eric memaklumkan kepada mahkamah, Noor Azman juga mempunyai satu kes saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang masih lagi dalam perbicaraan dan melalui saman itu Noor Azman menamakan Zahida sebagai defendan selepas pelakon itu mendakwa anak guamnya telah melarikan wang.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua orang penjamin dan memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah juga menetapkan 20 November untuk sebutan kes.

Sementara itu, di mahkamah sama seorang pekerja kedai emas, Griff Joyner Lois, 23, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencuri jongkong emas 999 seberat 100 gram bernilai RM13,158 milik majikannya, Habib Jewels Manufacturing Sdn Bhd di kedai emas Habib Jewels, Ampang Jaya pada 12.30 tengahari, 27 September lepas.

Wanita dari Sarawak itu didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,800 dengan seorang penjamin dan sebutan kes ditetapkan 20 November.

Pendakwaan kes itu turut dikendalikan oleh Goh manakala tertuduh diwakili peguam Kelvinder Singh.


Zahida Rafik, pemandu, pecah amanah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain