suria

Kes Rasuah Pengarah Kastam Dipindah Ke Mahkamah Sesyen Shah Alam

Nasir Mohd Said
KUALA LUMPUR: Kes Pengarah Kastam Negeri Perak, Datuk Mohd Nasir Said yang menghadapi tuduhan rasuah berjumlah RM80,000 berhubung tindakan individu dan syarikat membawa masuk arak tanpa cukai dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Hakim Mohd Nasir Nordin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Husmaruddin Husin pada Khamis.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 Oktober ini untuk sebutan semula di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Ketika ditemui, Husmaruddin berkata, kes pada Khamis adalah yang terakhir dipindahkan ke Mahkamah Shah Alam selepas 32 tertuduh lain turut didakwa terhadap kesalahan itu.

Katanya, kesemua kes itu dipindahkan atas alasan melibatkan saksi dan kesalahan yang hampir sama.

Pada 19 September lalu, Mohd Nasir, 58, mengaku tidak bersalah terhadap lapan pertuduhan rasuah itu sebagai dorongan tertuduh tidak mengambil tindakan atau menggunakan pengaruhnya agar tiada sebarang tindakan diambil terhadap dua individu dan syarikat yang mempunyai kepentingan mereka bagi kesalahan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Mohd Nasir, yang ketika itu Pengarah Kastam Melaka, didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada Oktober 2012 serta antara Januari dan Julai 2014 di Pasaraya Tesco Taman Midah, Cheras di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000 bergantung mana lebih tinggi.


Artikel Lain