suria

SPAD Tak Halang, Itu Hak Mereka - Syed Hamid

Syed Hamid Albar.
PETALING JAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) tidak pernah menghalang tindakan Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (Pembawa) menyerahkan memorandum kepada perdana menteri meminta supaya campur tangan dalam isu tambang bas ekspres yang berlarutan sejak 2008.

 

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Syed Albar berkata, Pembawa berhak mempertahankan tindakan mereka yang menuntut kadar tambang bas ekspres yang baharu diumumkan dengan segera.

"Terpulang kepada mereka... kita tidak pernah menyekat mereka untuk sampaikan permintaan kepada pemimpin tertinggi. Mungkin dengan cara itu mereka rasakan kerajaan dapat berikan keputusan lebih cepat," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Bagaimanapun, beliau berkata, SPAD hanya akan memaklumkan perkembangan terbaharu mengenai perkara itu sebaik sahaja mendapat lampu hijau daripada kerajaan.

"Kita hanya boleh buat cadangan tetapi keputusan muktamad mengenainya tetap dibuat kerajaan. Kita kena melalui saluran kerajaan. Apabila kerajaan setuju baharulah kita umumkan," katanya.

Pada Jumaat lalu, Yang Dipertua Pembawa, Tajuddin Mohd Yunus yang mewakili 17 pemilik syarikat bas ekspres Melayu di Semenanjung menyerahkan memorandum kepada wakil pejabat Perdana Menteri selepas isu itu masih gagal dimuktamadkan.

Antara syarikat yang terlibat adalah Cekap Ekspres Sdn Bhd, Cepat Ekspres Sdn Bhd, Comic Angle Travel Tours Sdn Bhd, Darul Naim Sdn Bhd, Edaran Ekspres Sdn Bhd, Eltabina Jaya Sdn Bhd, Hasry Ekspres Sdn Bhd, Konsortium E-Mutiara Bhd, Mahligai Ekspres Sdn Bhd.

Syarikat lain adalah Nikaniaga (Kenyir) Sdn Bhd, Sani Ekspres Sdn Bhd, Sri Indah Jaya Sdn Bhd, Sri Jengka Sdn Bhd, Syarikat Mohd Tap Sdn Bhd, Utama Ekspres Sdn Bhd, Perdana Ekspres Sdn Bhd dan Pancaran Matahari Sdn Bhd.

Memorandum tiga muka surat itu menyatakan beberapa faktor yang dihadapi syarikat pengusaha bas seperti peningkatan kos operasi, alat ganti bas, insurans dan pengurangan subsidi diesel yang menyebabkan kadar tambang bas ekspres yang baharu wajar dipertimbangkan.

Pada 3 Oktober lalu, Syed Hamid meminta semua syarikat pengusaha bas supaya bersabar dan menunggu pengumuman kenaikan kadar tambang baharu sebaik semua urusan berkaitannya selesai.

Jelas beliau, SPAD sememangnya dalam perancangan untuk menetapkan kadar tambang baharu selepas mengambil kira peningkatan kos operasi terutamanya kenaikan harga minyak baru-baru ini.

"Perancangan ke arah itu memang ada tetapi kita perlu bentangkan kepada kerajaan sebelum sebarang kata putus dibuat," katanya.


Syed Hamid Albar, SPAD, Pembawa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain