suria

Khairy Tidak Tolak Ansur Atlet Positif Doping

Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan tidak bertolak ansur terhadap mana-mana atlet negara yang positif dalam ujian doping. 

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ini kerana menjadi tanggungjawab seseorang atlet memastikan makanan, suplemen dan rawatan yang diambil bebas daripada sebarang bahan terlarang yang ditetapkan oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA). 

"Apabila perkara ini berlaku (positif doping) atlet tidak boleh menyalahkan jurulatih atau pakar yang merawat mereka semata-mata sebaliknya perkara ini adalah di atas liabiliti atlet itu sendiri. 

"Sudah pasti kita menganggap perkara ini merupakan satu perkara yang amat serius, memandangkan Malaysia pernah menduduki lembaga pengarah WADA, kita berpendirian 'zero tolerance' kepada atlet terlibat dengan isu doping," katanya kepada pemberita sebelum acara 'walkabout' sempena sambutan Deepavali di Brickfields, di sini Selasa.

Khairy turut mengesahkan berita mengenai atlet elit negara yang didapati positif ujian air kencing sampel A tanpa menyebut nama atlet, di kejohanan sukan di luar negara baru-baru ini. 

Sebagai tindakan lanjut KBS turut mengarahkan agar satu Jawatankuasa Khas Siasatan ditubuhkan bagi menyelesaikan kes itu.

Khairy berkata, beliau telah meminta Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abd Aziz dan Ketua Unit Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) Nishel Kumar segera menjalankan siasatan berkenaan dengan segala rawatan dan perubatan untuk atlet tersebut. 

"Kita telah memaklumkan perkara tersebut kepada atlet terbabit dan beliau juga terkejut apabila mendengar berita itu (positif doping). Adamas dimaklumkan perkara ini menerusi surat daripada Persekutuan Sukan Antarabangsa berkenaan bertarikh 1 Oktober lalu.

"Atlet terbabit telah memohon agar ujian ke atas sample B dilakukan dan beliau sendiri mahu hadir ketika botol sample B itu dibuka sebelum ujian makmal dijalankan di luar negara," katanya.

Katanya, mengikut peraturan Persekutuan Sukan Antarabangsa berkenaan mereka tidak akan mengeluarkan atau umumkan nama atlet terbabit sehingga ujian sampel B selesai.

Khairy Jamaluddin, doping

Artikel Sebelum

Artikel Lain