suria

Jabatan Penjara Rancang Bina Penjara Di Lahad Datu

TAWAU: Jabatan Penjara Malaysia merancang membina sebuah penjara di Lahad Datu bagi mangatasi masalah kesesakan penjara yang sedia ada di Sabah, kata Pengarah Pengurusan Penjara Malaysia, Jamaluddin Saad.

Katanya, setakat ini sebanyak 6,500 banduan ditempatkan di enam penjara di Sabah, iaitu Sekolah Juvana Keningau, Sekolah Henry Gurney Wanita Kota Kinabalu, Penjara Kota Kinabalu, Penjara Tawau, Penjara Sandakan dan Penjara Wanita Kota Kinabalu.

"Jumlah banduan di Sabah telah melepasi daripada kapasiti yang telah ditetapkan. Oleh itu kami bercadang untuk membina sebuah lagi penjara di Lahad Datu.

Cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan kita harap kelulusan dapat diperolehi hujung tahun ini” katanya kepada pemberita selepas Program Mesej Dari Penjara Peringkat Negeri di sini, Selasa.

Mengulas mengenai proses pemulihan luar tembok yang dilakukan pihak penjara, beliau berkata, program itu bertujuan untuk memberi  peluang kepada bekas banduan untuk menjalankan kehidupan baharu dengan lebih baik. 

"Dalam program pemulihan di luar tembok itu, kita melakukan sistem parol dan kemasyarakatan, yang mana ruang dan peluang untuk banduan itu dibebaskan lebih awal dari tarikh pembebasan sebenar. Oleh itu kami berharap program ini dapat sokongan daripada semua pihak," katanya.

Sementara itu Pengarah Penjara Sabah, Ab Basir Mohammad berkata, walaupun jumlah banduan di Sabah melebihi daripada kapasiti, pihaknya masih berupaya mengurus mengikut piawaian antarabangsa dan peraturan sedia ada.

Jabatan Penjara, Lahad Datu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain