suria

Siasatan Kes Jejantas Runtuh Dijangka Siap Akhir Tahun

Bumbung jejantas pejalan kaki di Lebuhraya Perling-Pasir Gudang berhampiran Taman Kobena runtuh ketika hujan lebat di Johor Bahru dalam kejadian pada 12 Oktober lalu. Foto BERNAMA

KLUANG: Siasatan berhubung kes bumbung jejantas tercabut dan jatuh di laluan Lebuh Raya Pasir Gudang berhampiran Taman Kobena, Johor Baharu, baru-baru ini, dijangka siap akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor Datuk Ir Hasni Mohamad berkata, siasatan sudah dimulakan oleh Unit Forensik Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya.

"Kita berharap melalui laporan forensik ini kelak, pihak-pihak bertanggungjawab terhadap keselamatan jejantas di negeri ini dapat menyelenggara kemudahan itu dengan baik kerana kita tidak mahu insiden itu berulang," katanya kepada pemberita pada kempen keselamatan jalan raya sempena Deepavali, di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Machap Utara, Lebuh Raya Utara Selatan, di sini, Selasa.

Hasni berkata, laporan berkenaan kelak akan turut dijadikan panduan dalam penambahbaikan reka bentuk jejantas dan kemudahan jalan raya di negeri ini yang disediakan jurutera.

Dalam kejadian 12 Oktober lepas, bumbung jejantas yang turut dipasang sebuah papan iklan berkenaan tercabut yang dipercayai disebabkan angin kuat.

Kejadian turut menyebabkan lima pengguna laluan itu mengalami cedera ringan.

Sementara itu, Hasni berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM150 juta tahun depan sebagai tambahan bagi melakukan penyelenggaraan dan meningkatkan ciri keselamatan jalan di negeri ini.

Beliau berkata, kesemua penyelenggaraan akan melibatkan jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan penghubung desa.

"Kerajaan negeri akan sentiasa memperhebat usaha penyelenggaraan jalan raya dan jabatan yang berkaitan juga dalam masa yang sama akan membangkitkan kesedaran pengguna bagi mengurangkan kadar kemalangan," katanya. 

Sempena kempen itu, beliau turut mengedarkan 50 topi keledar dan baju pantulan cahaya kepada pengguna lebuh raya.

bumbung jejantas tercabut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain