suria

Larian Antarabangsa Buka Persidangan Capam 2014

Ali Hamsa (dua, kanan) yang juga Presiden baharu Pertubuhan Komanwel Bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) hadir melepaskan kira kira 3,200 peserta dari 12 buah negara pada acara Larian Antarabangsa CAPAM 2014 sempena Persidangan CAPAM di perkarangan Istana kehakiman di sini
PUTRAJAYA: Acara larian antarabangsa diadakan di sini pada Ahad sempena persidangan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (Capam) 2014 yang dihadiri 1,500 anggota perwakilan dari 53 negara.


Kira-kira 3,200 peserta dari 12 negara menyertai Larian Antarabangsa Capam 2014 yang menawarkan hadiah berjumlah RM50,800, kata Ahmad Faedzal Md Ramli, setiausaha agung Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (Maksak).

Kategori 'Fun Run' sejauh 5km dalam acara ini menepati namanya apabila ibu bapa menyertainya bersama anak masing-masing, termasuk bayi.

Beberapa peserta pula kelihatan lebih kreatif apabila memakai pakaian korporat dalam larian ini, yang dilepas mula oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, presiden baharu Capam bagi penggal 2014-2016 yng dipilih pada Sabtu, dan Ketua Pegawai Eksekutif Capam, Gay Hamilton.

Acara utama larian ini dikuasai peserta Kenya apabila Julius Kiprotich Seurei muncul juara dalam kategori lelaki 22km dengan catatan masa 1 jam, 7 minit dan 38 saat dan ketiga dengan catatan masa 1'08:04s dan 1'10:23s. Acara berlangsung di Dataran Putrajaya.

"Acara ini sungguh hebat. Saya gembira dengan larian dan masa yang saya catat. Ia suatu latihan baik untuk menghadapi Marathon Jakarta bulan depan," kata Seurei kepada pemberita selepas acara itu.

Dalam kategori wanita 22km pula, Peninah Kigen menerajui barisan pelari Kenya dengan catatan masa 1'22:42, diikuti Edinah Jeruto Koech dan Mary Wangui Kiguru dengan catatan masa 1'25:01 dan 1'25:52.

"Empat puluh peratus peserta terdiri daripada penjawat awam yang bertugas di Putrajaya bagi menunjukkan sokongan kepada Malaysia sebagai hos persidangan CAPAM untuk kali kedua selepas 1998 ini. Kami juga menerima penyertaan pelari dari luar negara, termasuk dari Kenya, Australia, Rusia dan Mesir," kata Ahmad Faedzal.

Larian anjuran Maksak dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan ini diadakan bersempena pemilihan Malaysia sebagai hos persidangan dwitahunan ini, yang berlangsung mulai hari ini hingga Selasa.

Persidangan Capam 2014 dianjurkan dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Sekretariat Komanwel dengan tema 'Transformasi Perkhidmatan Awam: Suatu Bicara Baharu'.

Bersempena persidangan itu, Forum Media Komanwel akan diadakan untuk julung kalinya pada Selasa dengan dihoskan secara bersama oleh Pejabat Ketua Setiausaha Negara dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Capam, larian antarabangsa, Maksak

Artikel Lain