suria

Najib Tiba Di Milan, Bincang Kerjasama Asia-Eropah

DATUK Seri Najib Tun Razak tiba di Milan yang merupakan bandar kedua mempunyai penduduk paling ramai untuk menghadiri Mesyuarat Asia-Eropah (Asem) ke-10, bagi membincangkan beberapa isu termasuk peluang kerjasama kedua-dua rantau.

Perdana Menteri yang tiba pada Rabu akan menggunakan sepenuhnya mesyuarat tersebut bagi bekerjasama dengan 10 negara anggota Asean dan 28 negara-negara Eropah untuk berkongsi idea dalam meningkatkan ekonomi kedua-dua rantau.

Milan, pusat fesyen Itali, juga merupakan pusat komersial dan perbankan.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila bandar itu dipilih sebagai lokasi mesyuarat yang diadakan setiap dua tahun sekali itu.

Ramai yang menyatakan bahawa Milan tidak dapat menandingi seni bina di Rom, Florence atau Venice yang lebih mengagumkan.

Bagaimanapun, ia mempunyai khazanah tersendiri termasuk mercu tanda Gothic iaitu Cathedral Milan atau Duomo di Milano, yang merupakan katedral kelima terbesar di dunia yang mengambil masa selama 600 tahun untuk disiapkan.

Dalam mesyuarat itu, Najib akan berusaha menarik lebih banyak pelancong Itali ke Malaysia. Tahun lalu sebanyak 45,000 hingga 50,000 pelancong dari Itali memasuki Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke Itali, Datin Paduka Halimah Abdullah berkata, pelancongan akan menjadi topik utama pertemuan dua hala itu selain hubungan perdagangan.

Kedua-dua negara kini telah menjalinkan urusan jual-beli  barangan elektrik dan peralatan mesin secara seimbang walaupun Malaysia mempunyai kelebihan dari segi minyak sawit.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara meningkat daripada €1.83 bilion (RM7.6 bilion) pada tahun 2012 kepada €2 bilion (RM8.3 bilion) tahun lalu.

Najib juga akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin dari Hungary, Perancis, Finland, Lithuania, Norway dan Vietnam.

Beliau bakal berucap pada hari pertama mesyuarat sebelum mengambil bahagian dalam Forum Perniagaan Asia Eropah, Perkongsian Parlimen Asia Eropah dan Forum Rakyat Asia Eropah.

Asem diwujudkan sejak 1996 sebagai forum dialog dan pentas kerjasama antara Asia dan Eropah.

Milan Itali, Najib

Artikel Lain