suria

MB Selangor Persoal Kualiti Air Langat 2

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mempersoalkan kualiti air yang akan disalurkan untuk kegunaan rakyat di negeri itu selepas projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) siap dibina.

Menurut beliau, pertikaian itu berdasarkan jenis teknologi yang bakal digunakan dalam projek kontroversi berkenaan.

"Saya ingin menarik perhatian ahli-ahli  Yang Berhormat bahawa di dalam spesifikasi sistem proses yang dicadangkan untuk Langat 2, ia akan melibatkan dual media yang menggunakan granular activated carbon (GAC).

"Penggunaan sistem proses dual media yang menggunakan granular activated carbon (GAC)  adalah sesuai untuk sumber air yang tercemar dan mencapai tahap kelas empat iaitu pengkelasan air yang terburuk.

"Persoalan saya adalah apakah air yang mengalir di Sungai Semantan (di Pahang) yang akan dialirkan ke Selangor berada pada tahap kelas empat iaitu sumber air yang mempunyai kualiti yang rendah?," soalnya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 di sini.

Mengulas lanjut Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak turut kecewa apabila rakyat di Selangor terpaksa membayar tarif air dengan kadar yang tinggi bagi kualiti air yang diragui.

"Mengapa sungai ini dipilih dan mengapa kerajaan Persekutuan mengambil opsyen ini sebagai jalan penyelesaian menyelesaikan masalah air di negeri Selangor.

"Kerajaan Selangor akan membayar kadar sepuluh sen per cubic meter kepada Kerajaan negeri Pahang bagi bayaran air mentah tersebut.

"Pada ketika ini, pihak operator air negeri Selangor hanya membayar sebanyak satu sen per cubic meter sahaja. Semua kos ini, akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna melalui bayaran tariff air," katanya.

Selain itu Azmin berkata, kerajaan Selangor berpandangan beberapa spesifikasi yang dibuat untuk projek ini adalah berlebihan dan dikhuatiri akan melibatkan peningkatan kos pembangunan serta operasi.

"Setelah kontraktor dilantik oleh Kerajaan Persekutuan, barulah Kerajaan Selangor mendapat peluang untuk meneliti spesifikasi teknikal Langat 2 untuk fasa pertama.

"Persoalan-persoalan beginilah yang menyebabkan Kerajaan Selangor berpendirian bahawa dalam  melaksanakan Langat 2, kerajaan negeri hendaklah juga mempunyai kuasa dalam membuat keputusan," katanya.

Selangor, Langat 2

Artikel Lain