suria

Jawatankuasa Parlimen Mampu Kikis Persepsi Sabah 'Anak Tiri'

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran supaya menubuhkan Jawatankuasa Parlimen bagi mengkaji sosio ekonomi rakyat Sabah bagi menghakis persepsi kononnya Sabah sentiasa 'dianak-tirikan'.


Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh berkata, menerusi langkah itu, isu kemiskinan di negeri berkenaan dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Dalam nada tegas, Abdul Ghapur mahu kerajaan segera menjalankan kajian pendapatan isi rumah di Sabah bagi menentukan tahap kemiskinan rakyat di negeri itu.

"Setelah 51 tahun kita (Sabah) merdeka, tapi nampak kita di Sabah ini macam dianak-tirikan. Apa jadi kalau kita jadi anak tiri? Kita minta perhatian daripada kerajaan Persekutuan.

"Jadi saya cadangkan di Sabah kita buat satu Jawatankuasa Parlimen untuk kaji seluruh negeri Sabah. Pergi setiap rumah dan kita nilai, buat laporan kemudian bentangkan kepada Parlimen berapa peratus kemiskinan di Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Selain itu, Abdul Ghapur dengan lantang turut mempersoalkan janji kerajaan semasa Pilhan Raya Umum ke-13 lalu untuk membina sejuta rumah dalam tempoh lima tahun kepada rakyat Sabah.

Bagaimanapun menurut Abdul Ghapur, beliau kecewa apabila janji berkenaan masih belum dilaksanakan walaupun selepas lebih setahun PRU-13 diadakan.

"Saya percaya dalam masa lima tahun kita dapat bina sejuta rumah. Ini tidak, masih tiada. Bila saya tanya belum ada dan macam-macam jawapan yang diberi.

"Waktu diberi penerangan saya puas hati, tapi bila lama kelamaan saya sudah tidak puas hati. Sebab itu saya bangkitkan di sini," katanya.

Tambah Abdul Ghapur, masalah pembinaan rumah di Sabah boleh diselesaikan sekiranya tanggungjawab itu diberikan kepada kerajaan negeri.

"Bila kita tanya, macam-macam jawapan yang ada, sebab apa kita gagal? Sebab semuanya berpusat.

"(Kerajaan Persekutuan) tidak mahu bagi peluang kerajaan negeri bina, sepatutnya kuasa untuk membuat rumah ini (diberi kepada) kerajaan negeri. Kerajaan Pusat hanya beri peruntukan," katanya.


Artikel Berikut

Tamrin Keluar PAS

Artikel Lain